Categories
BERITA UTAMA EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Sasar bina 40,000 unit rumah bantu golongan bawah, menengah

SHAH ALAM, 12 DIS: Kerajaan Negeri menyasarkan pembinaan sebanyak 40,000 unit Rumah Idaman menjelang 2022, kata EXCO perumahan.

Rodziah Ismail berkata setakat ini empat projek melibatkan 6,029 unit dalam pembinaan serta peringkat kelulusan pelan pembangunan.

“Pembinaan Rumah Idaman diharap dapat menyelesaikan isu pemilikan rumah golongan pertengahan (M40) dan berpendapatan rendah (B40).

“Aspek perumahan merupakan perkara penting mewujudkan masyarakat harmoni serta kehidupan bahagia, justeru Kerajaan Negeri komited menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Unit kediaman tersebut seluas lebih 1,000 kaki persegi dengan harga kira-kira RM250,000 dilengkapi penghawa dingin, kabinet dapur, kabinet baju dan pemanas air. Projek perumahan tersebut dibina di Kajang, Bangi dan Paya Jaras.

Pada 13 Julai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata negeri itu menyasarkan projek perumahan dengan nilai ekonomi RM12 bilion bakal menyelesaikan isu pemilikan rumah golongan peringkat bawah dan pertengahan.