Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selcare tingkat penggunaan kit ujian pantas antigen saring komuniti

KLANG, 3 DIS: Klinik Selcare akan meningkatkan penggunaan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) bagi Program Saringan Covid-19 Bersasar Komuniti pada masa akan datang.

Pengurus Besar Klinik Selcare Mahdzir Ibrahim berkata penggunaan alat itu mempercepatkan proses saringan dan keputusan diperoleh terus dalam tempoh kurang 30 minit.

“Operasi saringan semalam sedikit berbeza kerana buat pertama kali kita menggunakan RTK-Ag berbanding sebelumnya dengan teknik ujian tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR).

“Melalui kaedah ini (RTK-Ag), makmal pensampelan di ibu pejabat tidak digunakan sebaliknya kita menyediakan (makmal) mudah alih di lokasi yang dikawal rapi dan tidak dibenarkan masuk,” katanya ketika meninjau program Saringan Covid-19 Komuniti Bersasar di pekarangan Dewan Masyarakat Taman Meru 3 semalam.

Beliau berkata pihaknya bersedia menerima arahan bagi meneruskan program berkenaan dengan menggunakan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Kita tunggu makluman daripada Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa untuk menjalankan siri operasi saringan seterusnya yang mana semua proses akan dibuat secara digital,” katanya.