Categories
AGENDA NASIONAL

Jemaah umrah diarah buat RT-PCR sebelum berlepas pulang, tiba di Malaysia

SHAH ALAM, 1 JAN: Jemaah umrah yang akan pulang ke Malaysia perlu melakukan ujian pantas polimeras masa nyata (RT-PCR) dua hari sebelum tarikh berlepas dan pada hari ketibaan.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata mereka juga perlu menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian selama tujuh hari di stesen kuarantin berkuat kuasa 3 Januari ini.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut memaklumkan sekiranya bergejala, jemaah umrah perlu melakukan saringan pengesanan menggunakan RTK Antigen (RTK-Ag).

Jemaah juga diarah sekali lagi melakukan ujian RT-PCR pada hari kelima dan diberi pelepasan daripada kuarantin pada hari ke lapan sekiranya tiada pelanjutan dan keputusan saringan pada hari kelima negatif.

Hari ini, kerajaan memutuskan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Januari ini bagi membendung penularan varian Omicron Covid-19.

Menteri Kesihatan memaklumkan sebanyak 1,306 kes atau 11.76 peratus daripada 11,108 jemaah umrah dikesan positif Covid-19 sehingga 30 Disember lalu.

Khairy Jamaluddin berkata daripada jumlah tersebut, 592 kes dikesan positif pada ujian pertama semasa hari ketibaan di Malaysia dan 714 kes dikesan pada ujian kedua yang dijalankan pada hari kelima kuarantin.

Categories
AGENSI SELANGOR

Lebih 2,000 hadir saringan di Batang Kali dan Jeram, 65 disyaki positif

JERAM, 7 JUN : Seramai 65 daripada 2,616 peserta Saringan Komuniti percuma di Batang Kali dan Jeram disyaki positif Covid-19, kata pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor (STFO).

Dr Muhammad Farhan Rosli berkata saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) melibatkan 1,687 individu di Batang Kali mengesan 53 kes serta 931 (12) di Jeram.

“Kita berharap individu disyaki positif melakukan kuarantin kendiri dan patuh tatacara operasi piawai (SOP) meskipun tiada gejala atau tidak memakai gelang kuarantin,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Program Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Negeri berlangsung di Dewan Komuniti Bukit Sentosa, Batang Kali dan Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kuching Tengah, Jeram bermula 9 pagi hingga 4 petang.

Semalam Dr Muhammad Farhan meminta individu disyaki positif tidak panik serta bersabar menunggu panggilan pejabat kesihatan daerah untuk untuk menjalani ujian pantas polimerase masa nyata (RT-PCR) bagi mengesahkan status jangkitan.

Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh negeri mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selcare tingkat penggunaan kit ujian pantas antigen saring komuniti

KLANG, 3 DIS: Klinik Selcare akan meningkatkan penggunaan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) bagi Program Saringan Covid-19 Bersasar Komuniti pada masa akan datang.

Pengurus Besar Klinik Selcare Mahdzir Ibrahim berkata penggunaan alat itu mempercepatkan proses saringan dan keputusan diperoleh terus dalam tempoh kurang 30 minit.

“Operasi saringan semalam sedikit berbeza kerana buat pertama kali kita menggunakan RTK-Ag berbanding sebelumnya dengan teknik ujian tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR).

“Melalui kaedah ini (RTK-Ag), makmal pensampelan di ibu pejabat tidak digunakan sebaliknya kita menyediakan (makmal) mudah alih di lokasi yang dikawal rapi dan tidak dibenarkan masuk,” katanya ketika meninjau program Saringan Covid-19 Komuniti Bersasar di pekarangan Dewan Masyarakat Taman Meru 3 semalam.

Beliau berkata pihaknya bersedia menerima arahan bagi meneruskan program berkenaan dengan menggunakan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Kita tunggu makluman daripada Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa untuk menjalankan siri operasi saringan seterusnya yang mana semua proses akan dibuat secara digital,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tindakan tegas kepada majikan gaji pekerja asing tanpa ujian Covid-19

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) meminta agar tindakan tegas diambil kepada majikan yang menggajikan pekerja asing yang tidak menjalani saringan wajib Covid-19, khususnya yang bekerja di industri pembinaan, perkhidmatan dan perkilangan.

Penasihat Program Saringan Prihatin Komuniti MCCF Prof Datuk Seri Abu Hassan Asaari Abdullah berkata ini memandangkan masih ramai majikan yang degil dan tidak memberikan kerjasama terhadap arahan kerajaan sebelum ini, supaya pekerja asing dalam semua sektor melakukan ujian berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata MCCF turut tidak menolak kemungkinan berlakunya penipuan dalam keputusan saringan yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab demi mengaut keuntungan.

MCCF berpendapat bahawa ujian saringan Reverse Prescription – Pulmonary Chain Reaction (rt-PCR), pemakaian pelitup separuh muka dan pematuhan kepada prosedur operasi standard, merupakan vaksin terbaik komuniti dalam membantu memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

-BERNAMA