Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

STFC rangka langkah terkini kekang penularan Covid-19

SHAH ALAM, 21 DIS: Langkah terkini mengekang penularan Covid-19 di negeri ini akan dilaksanakan awal tahun depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC) sedang merangka langkah tersebut yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

“Beberapa strategi yang dah diumumkan membabitkan kawasan sasaran seperti KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) terpaksa diubah kerana memerlukan kos tinggi.

“Jadi kita akan ubah dan susun balik langkah ini supaya berkesan mengekang penularan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Sempena Perayaan Hari Krismas peringkat negeri hari ini.

Berhubung peningkatan kes harian di negeri ini, Amirudin berkata ia masih terkawal dan kenaikan berpunca dari saringan wajib yang diputuskan Majlis Keselamatan Negara.

“Ini jauh lebih baik (kes meningkat) sebab kita tahu dan dapat elak perebakan malah menjadi pengajaran penting selepas timbulnya kluster Teratai.

“Sekarang kita tangani guna kaedah berbeza. Dulu kita minta duduk rumah elak jumpa orang tetapi sekarang keluarlah untuk kehidupan namun jaga SOP (tatacara operasi piawai) dan kawal persekitaran,” katanya.