Categories
ADN SELANGOR

3,000 pelajar miskin sekitar Paya Jaras terima kelengkapan sekolah

SUNGAI BULOH, 10 JAN: Seramai 3,000 pelajar sekolah rendah dan menengah dari keluarga berpendapatan rendah (B40) sekitar Paya Jaras menerima bantuan peralatan sekolah.

Sumbangan berjumlah RM300,000 sempena program Kembali Ke Sekolah sesi 2021 meliputi set pakaian, kasut, stokin, pelitup muka dan beg.

“Program ini khusus untuk keluarga B40 terutama yang terjejas ketika pandemik Covid-19,” kata wakil rakyat Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman ketika ditemui di sini.

Sementara itu, wakil penerima Mohammed Rohim Mheol berkata bantuan itu bakal dimanfaatkan anaknya yang memasuki tingkatan satu tahun ini.

“Terima kasih kepada wakil rakyat kerana sudi membantu dan memberi semangat kepada anak saya yang juga penghidap sindrom down untuk memulakan sesi persekolahan,” katanya.

Seorang lagi penerima Muhammad Azrul Azwa juga berterima kasih atas sumbangan tersebut dan berharap program berkenaan diteruskan pada tahun depan.