Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

BooksFly2U terus beroperasi, mudahkan peminjam buku – PPAS

SHAH ALAM, 17 JAN: Orang awam masih boleh menggunakan khidmat BooksFly2U sekiranya mahu meminjam buku di mana-mana perpustakaan awam Selangor.

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata khidmat berkenaan juga boleh digunakan untuk proses pemulangan buku.

“Terdapat dua pilihan sama ada menggunakan khidmat e-panggilan seperti Grab atau Lalamove atau ambil sendiri buku yang sudah dipesan,” kata agensi itu menerusi Facebook.

Program BooksFly2U dilancarkan pada 16 Julai tahun lalu hanya memerlukan pengguna membuat panggilan telefon atau menghantar pesanan tajuk buku ke nombor 010-8491448 atau 03-55197667.

Dalam tempoh dua hari, petugas perpustakaan akan mendapatkannya dan mengaturkan penghantaran menggunakan khidmat e-panggilan dengan kos termasuk pemulangan semula buku ditanggung peminjam.