Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Niaga hadapan minyak sawit mentah rendah, ambil untung

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka merosot daripada kenaikan minggu ini, didorong oleh aktiviti pengambilan untung berikutan harga lebih tinggi, kata peniaga.

Peniaga Minyak Sawit Kanan Interband Group of Companies Jim Teh berkata harga dijangka berada antara RM3,350 dan RM3,450 satu tan pada minggu akan datang.

“Pasaran turut dijangka menerima impak daripada ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar US, berikutan pedagang asing membeli MSM kita dengan mata wang Amerika Syarikat itu. Pedagang turut bimbang dengan data eksport yang rendah baru-baru ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam nota penyelidikan pada Jumaat, CGS-CIMB berkata niaga hadapan minyak sawit merosot paling tinggi dalam tempoh lapan bulan berikutan bimbang penghantaran dari Malaysia akan berkurangan disebabkan pembelian yang rendah oleh pembeli utama India dan China.

“Minyak sayuran itu ditutup rendah 4.5 peratus kepada RM3,527 satu tan, penurunan terbesar sejak Mei. Di Singapura, niaga hadapan merosot 4.4 peratus,” katanya.

Menurut broker, selepas eksport yang kukuh pada November dan Disember berikutan duti eksport sifar, penghantaran Malaysia dijangka rendah pada Januari.

Beliau berkata pasaran membuat spekulasi bahawa penghantaran dalam tempoh 1-15 Januari dijangka merosot kira-kira 40 peratus daripada bulan sebelumnya.

“Minyak sawit turun daripada paras tertinggi dalam tempoh lebih satu dekad kepada paras terendah dalam tempoh tiga minggu berikutan pelabur resah mengenai penurunan eksport yang ketara daripada pengeluar kedua terbesar dunia itu,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, harga MSM kebanyakannya rendah, berikutan data eksport yang lemah.

Pada asas mingguan, kontrak niaga hadapan MSM bagi Januari 2021 merosot RM182 kepada RM3,815 satu tan, Februari 2021 susut RM331 kepada RM3,616 satu tan, Mac 2021 berkurangan RM407 kepada RM3,423 satu tan dan April 2021 turun RM387 kepada RM3,322 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 356,133 lot daripada 370,671 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka naik kepada 260,960 kontrak daripada 206,172 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan naik RM160 kepada RM4,030 satu tan.

– BERNAMA