Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jais arah masjid, surau baca Yasin setiap malam cegah Covid-19

SHAH ALAM, 26 JAN: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengarahkan semua masjid dan surau melaksanakan bacaan Surah Yasin setiap malam selepas solat Maghrib atau Isyak.

Pengarah Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata arahan itu sebagai ikhtiar memohon pertolongan Allah agar penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan di negara ini dapat dikekang.

“Program ini adalah tambahan kepada Program Selangor Bermunajat dan Berdoa yang diadakan setiap Isnin dan Khamis.

“Memandangkan bilangan jemaah yang dibenarkan di masjid dan surau masih terhad, pentadbir diminta memaklumkan pelaksanaan program ini kepada ahli kariah supaya dapat dilakukan di kediaman masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Shahzihan menjelaskan inisiatif tersebut merupakan ikhtiar untuk memohon pertolongan hanya kepada Allah dan meyakini konteks tauhid bahawa apa yang berlaku adalah dalam ilmu Allah.