Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan berangkat ke majlis baca Yasin, buka puasa di Istana Alam Shah

SHAH ALAM, 18 APRIL: DYMM Sultan Selangor Sultan berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil sempena Hari Hol Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam.

Selangor Royal Office dalam kenyataan di Facebook berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke majlis yang diadakan di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.

“Baginda diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin. Turut berangkat DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah,” katanya.

Menurutnya, Sultan Sharafuddin juga berkenan berbuka puasa dengan para jemputan yang terdiri daripada Orang Besar Istana, Ahli Dewan Diraja Selangor, Orang Besar Daerah serta kerabat diraja Selangor.

“Baginda seterusnya menunaikan solat Maghrib, Isyak dan terawih secara berjemaah,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jais arah masjid, surau baca Yasin setiap malam cegah Covid-19

SHAH ALAM, 26 JAN: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengarahkan semua masjid dan surau melaksanakan bacaan Surah Yasin setiap malam selepas solat Maghrib atau Isyak.

Pengarah Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata arahan itu sebagai ikhtiar memohon pertolongan Allah agar penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan di negara ini dapat dikekang.

“Program ini adalah tambahan kepada Program Selangor Bermunajat dan Berdoa yang diadakan setiap Isnin dan Khamis.

“Memandangkan bilangan jemaah yang dibenarkan di masjid dan surau masih terhad, pentadbir diminta memaklumkan pelaksanaan program ini kepada ahli kariah supaya dapat dilakukan di kediaman masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Shahzihan menjelaskan inisiatif tersebut merupakan ikhtiar untuk memohon pertolongan hanya kepada Allah dan meyakini konteks tauhid bahawa apa yang berlaku adalah dalam ilmu Allah.