Categories
AGENSI SELANGOR

Nelayan harap segera agih baucar petrol RM300

SHAH ALAM, 26 JAN: Nelayan negeri ini berharap bantuan baucar petrol bernilai RM300 disegerakan bagi meringankan beban golongan itu yang terjejas.

Pengerusi Persatuan Nelayan Selangor berkata insentif melalui Pakej Kita Selangor melegakan hampir 5,000 nelayan untuk mendepani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Insentif ini besar ertinya untuk menampung sedikit keperluan kami kerana hasil tangkapan kurang serta pergerakan menjual juga terhad sepanjang PKP,” kata Omar Abdul Rahman ketika dihubungi.

Beliau turut berharap Kerajaan Negeri mengadakan sesi dialog bagi membincangkan keperluan dan masalah golongan nelayan untuk tempoh jangka panjang.

Pada 20 Januari, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM2 juta untuk meringankan beban nelayan, petani, pengusaha ternakan dan industri asas tani.

Insentif baucar petrol diberikan kepada nelayan, barangan pertanian (petani), makanan haiwan (pengusaha ternakan) dan bahan mentah (industri asas tani).

Inisiatif tersebut antara yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor berjumlah RM73.877 juta bagi menggiatkan usaha memerangi Covid-19 dan merangsang ekonomi negeri.