KLANG, 26 MAC: Seramai 1,351 nelayan di seluruh negeri mula menerima baucar petrol sumbangan Kerajaan Selangor.
EXCO pemodenan pertanian dan industri asas tani berkata bantuan itu membabitkan peruntukan berjumlah RM405,300 dan disalurkan kepada nelayan pantai dan darat.
“Setiap seorang nelayan menerima baucar bernilai RM300 dan mereka boleh menebusnya bermula 1 April di tiga stesen minyak iaitu Shell, Petronas dan BHP.
“Kerajaan Negeri berharap supaya pemberian ini dapat meringankan beban nelayan yang turut terjejas akibat situasi pandemik Covid-19,” kata Ir Izham Hashim.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan baucar petrol kepada nalayan di Petronas Sungai Kapar, di sini semalam. Hadir sama Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Khusairi Husain.
Mengulas lanjut, Izham berkata sumbangan itu adalah kali kedua dilaksanakan Kerajaan Negeri selepas program sama dilancarkan tahun lalu.
“Tahun lepas, 801 nelayan yang terima tetapi tahun ini ia meningkat kepada 1,351,” katanya.
Selain baucar petrol, nelayan turut menerima bantuan bakul makanan menerusi Pakej Kita Selangor yang diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 20 Januari lalu.