Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN minta penjelasan menteri isu komputer riba untuk pelajar

SHAH ALAM, 8 FEB: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menggesa menteri kewangan memberi penjelasan berhubung status agihan 150,000 komputer riba kepada pelajar.

Pengarah komunikasinya berkata maklum balas Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz penting kerana peralatan itu sepatutnya diagihkan kepada 500 sekolah pada bulan ini.

“Pada 25 Januari, media melaporkan 150,000 komputer riba akan dihantar kepada sekolah terpilih menerusi Yayasan Hasanah mulai Februari.

“Namun timbul persoalan berhubung agihannya selepas 14 hari persekolahan antaranya tarikh akan dihantar, sekolah terpilih dan apa akan berlaku jika gagal dihantar,” kata Fahmi Fadzil menerusi kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai turut membidas sikap Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin yang diam seribu bahasa berhubung perkara itu.

“Ramai ibu bapa menanggung beban sejak pelaksanaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) malah keluarga ada anak ramai juga terpaksa berkongsi peralatan selain isu capaian internet yang masih gagal diatasi,” katanya.

Pada 6 November tahun lepas Tengku Zafrul berkata sejumlah RM150 juta diperuntuk untuk membeli 150,000 komputer riba kepada 500 sekolah.