Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 200 individu ditahan cuba rentas daerah, negeri

SHAH ALAM, 13 FEB: Jumlah tangkapan atas kesalahan rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran meningkat kepada 203 kes semalam berbanding 117 yang direkodkan kelmarin.

Menteri kanan (keselamatan) berkata secara keseluruhan, polis menahan 759 individu ekoran kegagalan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan daripada jumlah itu, seramai 715 individu dikompaun manakala 44 lagi direman.

“Kesalahan ingkar SOP lain meliputi tiada penjarakan fizikal iaitu 167 individu, tidak memakai pelitup muka (117), keluar rumah tanpa alasan munasabah (84) dan gagal menyediakan peralatan merekod diri pelanggan (57).

“Selain itu, membawa penumpang berlebihan dalam kenderaan pula seramai 22 individu, premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (12), aktiviti pusat hiburan (lapan) dan lain-lain (89),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemantauan dijalankan di 6,018 restoran, pasar raya (4,008), bank (3,814), penjaja (2,706), kilang (1,649) dan pejabat kerajaan (752).

Tambahnya, operasi pemantauan turut dijalankan di 1,087 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (266) dan terminal pengangkutan udara (71).