Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB buat pengumuman khas skim NaDi, Go Digital esok

SHAH ALAM, 9 FEB: Kerajaan Selangor akan membuat pengumuman khas insentif untuk membantu usahawan negeri ini pada esok, jam 10.30 pagi.

Orang ramai dijemput untuk menonton siaran secara langsung di Facebook Media Selangor atau Hijrah Selangor.

Pengumuman skim Niaga Darul Ehsan (NaDi) dan pembiayaan Go Digital akan disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Menerusi Belanjawan Selangor 2021, Amirudin mengumumkan skim NaDi dengan jumlah peruntukan awalan sebanyak RM10 juta yang bakal membantu peniaga mendapatkan pelan pinjaman minimum RM1,000.

Menerusi Pakej Kita Selangor, skim itu diperluas untuk usahawan wanita yang akan berniaga menggunakan permit sementara daripada pihak berkuasa tempatan dan tiada syarat pemilikan premis atau sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) diperlukan.

Manakala skim pembiayaan Go Digital pula pinjaman pembelian alat telekomuniksi seperti gajet dan tablet selaras dengan matlamat melahirkan lebih ramai usahawan digital di negeri ini.