Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB seru penduduk Shah Alam jalani Saringan Komuniti esok

SHAH ALAM, 16 FEB: Dato’ Menteri Besar menyeru penduduk sekitar Shah Alam menjalani Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma esok.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ujian bersasar bermula jam 9 pagi hingga 4 petang akan diadakan di Dewan MBSA Seksyen 19.

“Penduduk di Seksyen 15, 17, 18, 19, 20 dan 24 digalakkan hadir menjalani saringan. Usaha ini antara inisiatif Kerajaan Negeri menangani Covid-19.

“Segera daftar di laman sesawang http://screening.selangkah.my agar proses saringan berjalan lancar,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Kerajaan Selangor melaksanakan saringan Covid-19 berskala besar di beberapa kawasan panas mulai 11 April tahun lepas bagi membendung perebakan selain turut memperkenalkan saringan secara pandu lalu.

Kaedah tersebut yang pertama di negara ini sebahagian usaha melandaikan keluk wabak dan mengesan lebih banyak kes.

Pada 2 Disember 2020, portal Saringan Komuniti SELangkah dilancar bagi memperkemas proses pengesanan kontak dan saringan pantas Covid-19.