Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Nor Azmie dilantik setiausaha kerajaan negeri baharu

SHAH ALAM, 3 FEB: Dato’ Nor Azmie Diron dilantik setiausaha kerajaan negeri Selangor yang baharu bagi menggantikan Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkuat kuasa pada hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari yakin pelantikan pegawai kewangan itu akan menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Kerajaan Negeri ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Nor Azmie dan mengharapkan beliau akan terus menyumbang khidmat bakti khususnya dalam merealisasikan agenda Selangor Maju Bersama,” katanya dalam kenyataan.

Amirudin juga mengucapkan penghargaan kepada Mohd Amin yang tamat perkhidmatannya selama lima tahun pada 2 Februari. Pegawai tinggi itu sebelumnya memegang jawatan pengarah tanah dan galian Selangor.

“Saya juga turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Amin atas jasa dan pengorbanannya sepanjang menjawat jawatan setiausaha kerajaan negeri Selangor.

“Sesungguhnya kepemimpinan dan pengalaman beliau terutamanya dalam menguruskan pandemik Covid-19 baru-baru ini, akan sentiasa dikenang dan tersemat di hati dan sanubari semua penjawat awam,” katanya.

Bermula 1995, Nor Azmie yang berkelulusan sarjana pengurusan teknologi maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia memulakan kerjayanya sebagai pegawai tadbir dan diplomatik.

Beliau berkhidmat di beberapa kementerian dan agensi antaranya Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Jabatan Perdana Menteri.

Nor Azmie berpengalaman menguruskan beberapa portfolio termasuk keusahawanan, kewangan dan pengurusan sumber manusia sepanjang 26 tahun dalam perkhidmatan awam.

Beliau juga memegang beberapa jawatan penting di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor sebelum dilantik sebagai pegawai kewangan negeri Selangor pada 2018.