Categories
PENDAPAT RENCANA

RM25 juta upaya peniaga dijana tiga inisiatif

Sejumlah RM25 juta diperuntuk menerusi tiga inisiatif termasuk Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) untuk membantu usahawan negeri ini melalui Pakej Kita Selangor.

Dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 10 Februari lalu, NaDI pada masa ini giat membuat prapendaftaran usahawan.

Mengikut laporan kemajuan 20 inisiatif Unit Perancangan Ekonomi Negeri, permohonan skim dijayakan menerusi 20 cawangan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).

Skim yang menerima dana RM10 juta bertujuan membantu individu yang mahu memulakan perniagaan melalui pembiayaan mudah antara RM1,000 hingga RM5,000.

Hijrah sebagai agensi pelaksana menggunakan kaedah berkumpulan tiga orang dan wanita isi rumah sebagai wakil dalam program ini.

Bagi program pendigitalan e-Dapur, sebanyak RM10 juta disediakan manakala baki RM5 juta untuk pendigitalan e-Pembekal Peruncit dan Makro.

Kedua-duanya kemudian digabung sebagai Skim Pembiayaan Go Digital bertujuan memberi peluang kepada usahawan meningkatkan perniagaan melalui kaedah pendigitalan.

Syarikat peneraju turut dilantik bagi menyediakan pakej membabitkan sistem peranti, pemasaran, latihan dan pemantauan pada kadar RM1,000- RM5,000.

Mula dilaksanakan pada Januari tahun, kedua-dua program itu juga pada peringkat prapendaftaran.