Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan percuma Covid-19 di Sabak Bernam fokus pekerja industri

SABAK BERNAM, 25 FEB: Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar diteruskan hari ini di Stadium Sungai Besar dengan tumpuan kepada pekerja industri sekitar Sabak Bernam.

Program secara percuma mulai jam 8 pagi hingga 5 petang turut menggabungkan sistem Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) bagi mengawal penularan wabak.

Pengurus Operasi Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir menyasarkan kehadiran seramai 1,500 peserta dengan 400 orang mendaftar setakat tengah hari.

“Saringan kali ini kita tumpu kepada sektor industri bagi mengelakkan penularan wabak dalam kalangan pekerja, malah mereka juga boleh membawa ahli keluarga,” katanya menambah terdapat 170 syarikat perindustrian beroperasi di daerah itu.

Beliau menjelaskan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut menyediakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) bagi pekerja asing yang mencarum pada saringan kali ini.

Mohd Noor berkata semua keputusan saringan akan dimaklumkan melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dalam tempoh 24 jam.

Pada 20 Januari, Kerajaan Selangor memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung penularan wabak.

Sebelum ini, program sama dilaksana di Dewan Seksyen 19, Seksyen 7 dan Seksyen 25, Shah Alam, Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Klang serta Dewan Komuniti PJS 6, Petaling Jaya.