Categories
PBT SELANGOR

MPKj lulus 11 permit penjaja, kawal aktiviti niaga di Hulu Langat

SHAH ALAM, 25 FEB: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) meluluskan permohonan 11 permit penjaja sementara di pinggir jalan Batu 18, Hulu Langat bagi mengawal aktiviti perniagaan kawasan pentadbirannya.

Pegawai perhubungan awamnya berkata kelulusan di bawah program Pasca Covid-19 sebagai usaha membantu menjana ekonomi rakyat yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kamarul Izlan Sulaiman menjelaskan sewa bulanan RM150 dikenakan kepada penjaja terbabit meliputi caj kutipan sampah (RM90) dan permit perniagaan (RM60).

“Perkara ini selaras dengan hasrat Kerajaan Selangor untuk memberikan kelulusan kepada permohonan peniaga kecil yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Selaras Undang-Undang Kecil Penjaja 2007 (MPKj), semua jenis perniagaan dijalankan dalam kawasan MPKj perlu dilesenkan atau dipermitkan sebelum dibenarkan beroperasi,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, peniaga di kawasan berkenaan merungut apabila dikenakan bayaran RM150 sebulan.

Ini kerana, kata peniaga keuntungan diperoleh ketika tempoh PKP kurang memuaskan sekali gus jumlah bayaran itu menjadi beban kepada mereka.

Sementara itu, Izlan berkata hampir 20 binaan tanpa kelulusan atas tanah kerajaan termasuk aktiviti perniagaan dikesan beroperasi di kawasan terbabit berdasarkan bancian pada 25 November lalu.

“Justeru, kami (MPKj) mengambil inisiatif mempermitkan aktiviti penjajaan di kawasan itu dengan kadar fi ditetapkan.

“Kita mengambil cakna berkaitan aduan yang dikemukakan dan akan mempertimbangkan cadangan serta penambahbaikan,” katanya lagi.