Categories
ADN SELANGOR

Anak muda Tanjung Sepat bantu penduduk daftar terima vaksin

SHAH ALAM, 22 MAC: Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat menggerakan anak muda kawasan itu membantu penduduk luar bandar mendaftar terima suntikan vaksin Covid-19.

Borhan Aman Shah memaklumkan usaha itu bagi memastikan tiada golongan tercicir khususnya warga emas yang tidak tahu mengunakan khidmat dalam talian.

“Golongan anak muda akan pergi rumah ke rumah untuk membantu melakukan pendaftaran.

“Selain itu bagi kawasan tiada internet, mereka boleh datang ke pusat khidmat untuk kita bantu daftarkan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, ADN Sekinchan berkata, beliau turun padang bertemu sendiri penduduk memberi penerangan berhubung kepentingan menerima vaksin.

“Saya dapati masih ramai penduduk belum daftar terima suntikan vaksin kerana khuatir kesan sampingan.

“Saya sendiri sudah menerima vaksin. Secara tidak langsung beri keyakinan kepada mereka untuk mendaftar,” katanya.

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad semalam berkata masih ramai golongan warga emas belum mendaftar terima vaksin.

Katanya, sebahagian daripada mereka tidak mempunyai akses aplikasi MySejahtera, kekangan internet selain tidak tahu daftar secara digital.