Categories
ADN SELANGOR

Anak muda Tanjung Sepat bantu penduduk daftar terima vaksin

SHAH ALAM, 22 MAC: Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat menggerakan anak muda kawasan itu membantu penduduk luar bandar mendaftar terima suntikan vaksin Covid-19.

Borhan Aman Shah memaklumkan usaha itu bagi memastikan tiada golongan tercicir khususnya warga emas yang tidak tahu mengunakan khidmat dalam talian.

“Golongan anak muda akan pergi rumah ke rumah untuk membantu melakukan pendaftaran.

“Selain itu bagi kawasan tiada internet, mereka boleh datang ke pusat khidmat untuk kita bantu daftarkan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, ADN Sekinchan berkata, beliau turun padang bertemu sendiri penduduk memberi penerangan berhubung kepentingan menerima vaksin.

“Saya dapati masih ramai penduduk belum daftar terima suntikan vaksin kerana khuatir kesan sampingan.

“Saya sendiri sudah menerima vaksin. Secara tidak langsung beri keyakinan kepada mereka untuk mendaftar,” katanya.

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad semalam berkata masih ramai golongan warga emas belum mendaftar terima vaksin.

Katanya, sebahagian daripada mereka tidak mempunyai akses aplikasi MySejahtera, kekangan internet selain tidak tahu daftar secara digital.

Categories
ADN SELANGOR

Penyelam TLDM bantu cari nelayan hilang di Pantai Batu Laut

SHAH ALAM, 10 OKT: Misi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan yang dikhuatiri lemas di Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat diteruskan menggunakan kepakaran pasukan penyelam dasar laut Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Cadangan menggunakan kepakaran penyelam TLDM dikemukakan Jabatan Bomba dan Penyelamat kerana keadaan dasar laut yang keruh membataskan pemandangan penyelamat,” kata Borhan Aman Shah kepada SelangorKini.

Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat berkata operasi kini masuk hari ketiga dan pasukan penyelamat semalam berjaya menemui tali dipercayai masih sangkut pada serpihan bot yang pecah.

Beliau berkata tali sampan itu berjaya ditarik dan ada peralatan menangkap ikan namun terlalu pendek serta tidak ditarik menggunakan enjin kerana bimbang akan putus.

“Saya khuatir mangsa tersangkut di dasar laut bersama sampan dan enjin sekali kerana sampannya pecah,” kata EXCO Kerajaan Negeri itu.

Sebelum ini tular video di laman sosial seorang individu diselamatkan beberapa nelayan selepas ditemui terapung di Pantai Batu Laut.

Individu berkenaan yang merupakan anak mangsa kini sedang dirawat di Hospital Banting.

Categories
ADN SELANGOR

ADN Tanjung Sepat sumbang kit cegah Covid-19 kepada sekolah

SHAH ALAM, 19 OGOS: Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat sumbang kit cegah Covid-19 kepada 22 sekolah di kawasannya sejak 5 Ogos lalu.

Borhan Aman Shah berkata setiap sekolah menerima 1,000 pelitup muka, 20 cecair pembasmi kuman, termometer dan semburan pembasmi kuman.

“Sumbangan ini bertujuan membantu sekolah di luar bandar khususnya yang kekurangan dana untuk membeli kit tersebut. Justeru, saya ambil inisiatif untuk membantu meringankan beban pihak sekolah,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Borhan turut menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan menjaga penjarakan sosial terutama kepada pelajar.

“Covid-19 masih wujud dan saya harap semua orang terus amalkan norma baharu dalam rutin harian walau di mana sahaja kita berada,” katanya.

Antara sekolah yang terima sumbangan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Sepat; SK Sungai Lang; SK Sungai Kelambu; SK Kampung Endah; SK Batu Laut; SK Sungai Rawang dan SK Bukit Bangkong.

Selain itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Teluk Merbau; SJKT Ladang Tumbok; SJKT Ladang Gadong; SJKC (Cina) Tanjung Sepat; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Sepat dan SMK Sungai Rawang.

Turut terima bantuan SMK Batu Laut; Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Lang Tengah; SRA Sungai Kelambu; SRA Kampung Endah; SRA Batu Laut; SRA Kundang; SRA Tanjung Sepat; SRA Kampung Bukit Bangkong dan KAFA Sungai Lang Baru.

Categories
ADN SELANGOR

Pesara polis terharu terima bantuan ADN Tanjung Sepat

SHAH ALAM, 23 JAN: Pesara polis Ahmad Omar berusia 94 tahun terharu menerima sumbangan alat bantuan pendengaran di kediamannya dekat Kuala Langat semalam.

Beliau berkata bantuan yang disampaikan Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat Borhan Aman Shah sedikit sebanyak membantu memudahkan kehidupan hariannya.

“Terima kasih YB (Yang Berhormat Borhan Aman Shah) atas sumbangan yang diberikan. Syukur tidak terhingga dengan bantuan ini saya boleh mendengar,” katanya pada program bertemu penduduk kelmarin.

Masalah yang dihadapi Ahmad sejak beberapa tahun lalu mendapat perhatian setiausaha politik kepada Dato’ Menteri Besar dan persatuan bekas polis daerah Kuala Langat.

“Sumbang alat pendengaran kepada Ahmad adalah untuk mudahkan dia jalani kehidupan seharian. Saya ucap terima kasih kepada YB dan rakan-rakan persatuan,” kata pengerusi persatuan itu Ariffin Abu Hassan.