Categories
AGENDA NASIONAL

Bakal pengantin ambil peluang jalani saringan Covid-19 percuma

AMPANG, 29 MAC: Demi mematuhi syarat kebenaran akad nikah, sepasang bakal pengantin tidak mensia-siakan peluang menjalani saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri.

Farid Ashraf Kamarozaman, 24, berkata dia dan pasangan Nik Nur Nasuha Izzati Hashim, 22, perlu membuat ujian itu sebelum melangsungkan perkahwinan Sabtu depan.

Farid Ashraf Kamarozaman

Menurutnya, inisiatif itu menjimatkan kos perkahwinan memandangkan caj saringan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) yang dikenakan di klinik swasta agak membebankan.

“Tatacara perkahwinan sekarang sedikit rumit sebab kena buat saringan dan laporan perlu dikemukakan kepada jurunikah masjid sebelum tarikh akad nikah.

“Kebetulan, ada kenalan memaklumkan Kerajaan Negeri menganjurkan saringan percuma di sini, jadi saya terus ajak bakal isteri untuk turut serta.

“Kami berharap keputusan saringan memuaskan. Kalau diikutkan risau juga kalau positif Covid-19, majlis tidak dapat berlangsung. Bagaimanapun, didoakan semua dipermudahkan,” katanya.

Tumiran Kassim

Terdahulu, pasangan terbabit antara kira-kira 212 individu yang menyertai Saringan Komuniti di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Kampung Pandan semalam.

Bagi pasangan warga emas Tumiran Kassim, 71, dan Noormah Idrus, 64, mereka menjalani saringan itu sebagai langkah berjaga-jaga berikutan wabak Covid-19 mudah menjangkiti golongan berusia.

Tumiran berkata dia terdetik melakukan saringan apabila memikirkan penyakit asma dihidapinya manakala isteri pula darah tinggi.

“Kalau orang lain yang umur sebaya kami pun boleh buat saringan, mengapa tidak kami? Jadi, selepas melihat gegantung program tersebut berhampiran rumah, saya bawa isteri datang,” katanya.