Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Bumbung rosak pangsapuri kos rendah Seksyen 7 dibaiki segera

SHAH ALAM, 14 MAC: Masalah bumbung rosak sebahagian 58 blok pangsapuri kos rendah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Seksyen 7 diatasi dalam masa terdekat.

Dato’ Menteri Besar berkata Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan meneliti jenis kerosakan terbabit sebelum kerja pembaikian atau penukaran bumbung dijalankan.

“Ia melibatkan ramai penduduk. Satu blok ada 60 unit rumah jadi kita akan tengok kaedah penyelesaian paling sesuai. Anggaran kos untuk satu blok melebihi RM200,000.

“Jadi kita tunggu keseluruhan penelitian dibuat MBSA serta jumlah kos yang diperlukan. Perkara ini akan diumumkan selepas kita terima,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas meninjau bumbung pangsapuri Blok 48, Seksyen 7 dekat sini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan menyelesaikan isu pemilikan tanah gelanggang sepak takraw kawasan berkenaan sebelum kerja pembaikan berjalan.

“Peruntukan antara RM200,000 hingga RM300,00 memang ada cuma sekarang kita minta mereka serahkan kepada kita untuk uruskan bagi kemudahan mereka.

“Tanah milik pihak pengurusan tapi gelanggang ini untuk kegunaan orang ramai. Kita akan runding balik mengenainya,” katanya.