Categories
AGENDA NASIONAL

Cabang terus kukuh meski ahli parlimen keluar parti

SHAH ALAM, 15 MAC: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor yakin cabang setiap kawasan akan terus kukuh di sebalik tindakan segelintir pemimpin keluar parti.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negerinya Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerusi Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen itu juga kekal milik parti berikutan sokongan rakyat terus utuh.

“Kita tetap jadi tiang seri di Selangor dan jadi pilihan ramai. Selagi dalam kerangka reformasi, kita akan menang.

“Dalam politik kita tidak boleh terus berpuas hati walaupun sudah menang sebaliknya terus bekerja.. terus bergerak untuk rakyat. Pengundi lebih penting dari calon dan jentera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam KEADILAN Shah Alam di Pusat Konvensyen Shah Alam malam tadi.

Majlis sempena siri jelajah Kita Selangor turut dihadiri Timbalan Pengerusi negeri, Hee Loy Sian; Ketua Wanita negeri, Rodziah Ismail dan Ketua Angkatan Muda negeri, Najwan Halimi.

Pada Sabtu, KEADILAN Selangor memberi jaminan untuk meneruskan agenda memanfaatkan rakyat selain menyeru seluruh penyokong parti istiqamah dengan perjuangan.

Kenyataan itu susulan tindakan Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar yang juga ketua cabang mengumumkan keluar parti dan memberi sokongan penuh kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, KEADILAN mendakwa kerajaan PN cuba mengugut wakil rakyat pembangkang untuk mengalihkan sokongan.