Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 83 peratus barisan hadapan Selangor terima dos pertama vaksin

SHAH ALAM, 25 MAC: Lebih 83 peratus penerima vaksin fasa awal di Selangor sudah menerima suntikan dos pertama setakat ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata majoriti penerima merupakan petugas barisan hadapan manakala baki yang masih belum menerima imunisasi terbabit berjumlah kira-kira 4,000 individu.

Menurutnya fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan negeri itu dijangka selesai menjelang April nanti.

“Sasaran saya selepas selesai fasa ini akan fokus pada persediaan peringkat kedua dan ketiga melibatkan aspek pendaftaran dan logistik terutama pusat pemberian vaksin.

“Ia akan diurus oleh pihak pentadbiran daerah dan pegawai peringkat negeri,” katanya pada sidang media bersama menteri penyelaras program berkenaan, Khairy Jamaluddin.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri juga akan mempercepatkan pemberian vaksin untuk individu sektor perindustrian memandangkan negeri itu merupakan pusat perkembangan dan pemacu ekonomi negara.

“Kita harus pulih secepat mungkin sekali gus membolehkan industri beroperasi dengan kapasiti penuh. Kita akan cuba mempercepatkan apa kita mampu untuk atasi perebakan,” katanya.

Berdasarkan data dikongsi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) di Facebook hari ini, setakat kelmarin 57,368 vaksin diberikan di Selangor dengan 55,336 untuk dos pertama manakala 2,032 dos kedua.

Jumlah itu melibatkan 36,248 petugas Kementerian Kesihatan (KKM) manakala bakinya terdiri daripada bukan kakitangan KKM serta pihak swasta.