Categories
AGENDA NASIONAL

MB gesa hentikan sebar maklumat keliru vaksin

GOMBAK, 1 MAC: Golongan antivaksin dinasihatkan supaya berhenti menyebarkan maklumat mengelirukan berkaitan vaksin Covid-19 yang boleh mencetuskan ketakutan orang ramai.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata suntikan vaksin terhadap rakyat di beberapa negara terbukti berkesan apabila jangkitan wabak mampu ditangani.

“Jangan sebarkan ketakutan kerana apa yang dapat kita lihat trend seluruh dunia misalnya China dan Eropah serta banyak negara lain, mereka dapat kawal kes apabila mula memvaksin masyarakat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas meninjau pembukaan semula sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Gombak Setia, Gombak pada 1 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Justeru, ujian dan penyelidikan empirikal membuktikan bahawa vaksin ini berkesan serta boleh melindungi diri daripada Covid-19,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pembukaan semula persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Gombak Setia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata vaksin Pfizer-BioNTech yang tiba di Malaysia baru-baru ini sekurang-kurangnya melalui tiga ujian klinikal sebelum mendapat kelulusan kerajaan.

“Setakat ini, vaksin jenis itu yang diluluskan manakala vaksin Sinovac dari China memerlukan sedikit masa lagi untuk kelulusan sebenar.

“Malah, jika dilihat daripada pengalaman Turki, hampir 100 peratus laporan (keberkesanan) vaksin Sinovac, jadi kita sedang teliti keadaan ini,” katanya lagi.

Sebanyak 312,390 dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 21 Februari 2021. Sebaik mendarat, proses pemindahan vaksin yang ditempatkan dalam peranti muatan unit (ULD) dari bahagian kargo pesawat ke trak milik sebuah syarikat logistik, DHL Express berlangsung di kawasan Advanced Cargo Centre (ACC), KLIA. Foto: BERNAMA

Pada 21 Februari, sebanyak 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari kilang di Belgium.

Fasa pertama suntikan meliputi petugas hadapan diikuti kumpulan berisiko tinggi, warga emas, kumpulan rentan, orang kelainan upaya (OKU) dan dewasa 18 tahun ke atas.

Selangor menerima 78,000 dos vaksin setakat ini yang mengutamakan wakil rakyat dan petugas hadapan serta diagih secara berperingkat mengikut kumpulan sasaran atau berkepentingan.