Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Manfaatkan tanah lapang, bertani guna fertigasi

SHAH ALAM, 14 MAC: Dato’ Menteri Besar menggalakkan masyarakat memanfaatkan tanah lapang dengan tanaman menggunakan kaedah fertigasi.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu dapat membantu mengurangkan import makanan dan jimatkan perbelanjaan makanan asas.

“Usaha Persatuan Usahawan Tani Batu Tiga ini wajar dicontohi apabila mereka sanggup menyewa tanah lebih 1.21 hektar untuk membuat projek fertigasi.

“Saya difahamkan fasa pertama sebanyak 2,000 pokok cili berjaya disemai dan akan diperluaskan lagi dari semasa ke semasa dengan pelbagai jenis tanaman,” katanya selepas melancarkan Projek Fertigasi Cili Dalam Bandar di Seksyen 18.

Beliau berkata projek itu perlu pemantauan supaya penghasilan tanaman tidak berlaku lambakan pada masa akan datang.

“Perlu ada pengawalan tetapi buat masa ini kita usaha banyakkan dahulu hasil tanaman.

“Sudah sampai masa nanti kita aturkan untuk wujudkan pangkalan data supaya hasilnya tidak berlebihan,” katanya.