Categories
AGENSI SELANGOR

Unisel jayakan program kesedaran digital komuniti Petaling Jaya

SHAH ALAM, 31 MAC: Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran (FCVAC) Universiti Selangor (Unisel) menerima geran berjumlah RM36,597 untuk menjayakan program kesedaran digital terhadap komuniti Petaling Jaya.

Geran projek komuniti Sosial, Persekitaran, Ekonomi dan Pembangunan Petaling Jaya (PJ SEED) itu disalurkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi pelaksanaan program tiga fasa bermula awal tahun ini.

Dekannya berkata, projek yang menyasarkan Generasi Z dan ibu bapa di zon 24 Petaling Jaya bertujuan meningkatkan pengetahuan berkaitan digital, etika digital dan etika dalam dunia maya.

“Berada dalam dunia tanpa sempadan bukan hanya memberi peluang besar malah boleh mengundang pelbagai risiko kepada generasi kini, justeru wujud keperluan untuk menerapkan semangat kewarganegaraan digital berhemah dalam komuniti,” kata Prof Madya Dr Haslinda Sutan Ahmad Nawi.

Menurut beliau, program tersebut kini pada fasa pertama membabitkan kajian profil komuniti dan mengenal pasti lokasi aktiviti.

“Fasa kedua dijangka bermula Jun depan membabitkan penganjuran tiga program meliputi forum kesedaran, bengkel keibubapaan milenium dan bengkel Gen Z manakala fasa ketiga adalah laporan status keberkesanan projek,” katanya.