SHAH ALAM 4 FEB : Sistem pendidikan negara masa kini perlu penerapan aspek akhlak dan adab mulia bagi membentuk peribadi pelajar, mahasiswa dan siswazah.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pendidikan masa kini didapati terlalu menumpukan pada aspek kejayaan meritokrasi melalui pentaksiran dan penilaian berasaskan peperiksaan semata-mata.
Malah, kejayaan sekarang juga didasarkan pada kiraan angka dan gred semata-mata dengan mengecilkan aspek akhlak atau moral dan maruah anak didik, guru dan pentadbir sekolah.
“Tidak keterlaluan jika saya katakan salah satu penyebab utama berlakunya kepincangan sosial adalah kerana pendidikan itu sendiri kurang berjaya untuk menjana dan melindungi akhlak generasi muda.
“Ia terbukti kini negara kita dibelenggu pelbagai masalah sosial yang melibatkan generasi muda.
“Sebagai contoh berlaku di Universiti Utara Malaysia (UUM) kes pengerusi merampas mikrofon daripada seorang peserta yang sedang berhujah kerana bertentangan dengan hujah pengerusi itu.
“Ia adalah contoh bagaimana seseorang itu tidak mempunyai ketahanan diri dalam hal menghormati pendapat orang lain dan tidak mahu memberi peluang orang lain mengemukakan pandangan secara bebas dan terbuka,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Antarabangsa Pendidikan 2013 di Universiti Industri Selangor(Unisel).
Hadir sama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ; Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dan Presiden dan Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad.
Sementara itu, Hadi berkata sekiranya negara mengamalkan sistem federalisme dengan cara yang baik dan demokrasi sudah tentu setiap negeri lebih banyak diberi peluang untuk merealisasikan agenda pendidikan dengan sebenarnya.
“Kita perlu menerima hakikat betapa kelemahan sistem pendidikan yang ada hari ni melahirkann pemimpin rasuah, penipu dan tidak bertanggungjawab juga melahirkan penjenayah.
“Ia kerana sistem pendidikan yang tidak betul…itu perlu dikaji semula kerana peringkat negeri tidak ada kuasa kerana akta universiti dan pendidikan sehingga kini tidak boleh diubah,” katanya.
Konvensyen Antarabangsa Pendidikan 2013 (KAP) itu diadakan bertujuan untuk membincangkan dasar pendidikan Malaysia daripada perspektif holistik.
Ia turut membincangkan topik pendidikan percuma, pembentukan sahsiah dan pelan pembangunan pendidikan Malaysia 2013 – 2025 dalam konteks falsafah pendidikan negara.
KAP yang berlangsung selama dua hari turut membariskan beberapa panel penceramah dari luar negara dan dalam negara.
Antaranya Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim ; Pesantren Darul Salam, Gontor, Indonesia, Dr Amal Fathullah Zarkasyi ; pensyarah University of Mauritius, Prof Dr Ameenah Gurib; Mantan Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan, Abas Awang dan Pakar pelembagaan negera, Dr Aziz Bari.
Selain itu, Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli ; Adjunt Profesor UGSM, Dr Barjoyai Bardai ; Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff ; Adun Seri Setia, Nik Nazmi Ahmad dan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Supyan Hussin.