Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Aplikasi mudahkan warga PPR buat aduan, daftar program negeri

SHAH ALAM, 17 APRIL: Aplikasi khusus buat penghuni projek perumahan rakyat (PPR) diwujudkan bagi membantu komuniti di kawasan terbabit membuat aduan.

Penasihat utama Think City berkata sistem Kita untuk Kita (K2K) yang dibangunkan bersama Kerajaan Selangor juga memudahkan penduduk mendapat maklumat berkaitan program negeri.

“Ia juga meliputi maklumat bantuan kewangan, barangan dan sebagainya dengan syarat pengguna aplikasi berkenaan mestilah penghuni PPR.

“Melaluinya, program negeri sedia ada lebih mudah dimaklumkan untuk manfaat penghuni PPR seperti program keusahawanan yang dapat meningkatkan sumber pendapatan,” kata Dr Shahridan Faez kepada Selangorkini.

Beliau menambah hanya PPR Kampung Baru Hicom menggunakan aplikasi itu setakat ini, yang secara tidak langsung membentuk pengurusan komuniti secara sistematik.

Petang tadi, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat sekitar PPR terbabit sempena Hari K2K dan merasmikan pusat pengurusan Perumahan dan Hartanah Selangor.

Inisiatif yang dibangunkan susulan pandemik Covid-19 merangkumi aspek sosial, ekonomi, kesihatan dan infrastruktur PPR boleh dimuat turun di Google Play Store.