Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor bangun aplikasi semak status halal, mudahkan pengguna pilih produk

SHAH ALAM, 16 DIS: Kerajaan Negeri bakal melancarkan aplikasi halal yang memudahkan pengguna menyemak status halal sesuatu produk secara dalam talian dalam tempoh terdekat.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata aplikasi yang mesra pengguna itu juga membolehkan pengguna melihat bahan digunakan produk.

“Ketika ini kita sedang berunding dengan pihak kejuruteraan dalam merangka struktur sesuai. Bila imbas semua data produk akan tertera, jadi ia memudahkan pengguna menilai.

“Sementara belum dilancarkan, pengguna boleh gunakan aplikasi Smart Halal dibangunkan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia),” katanya pada sidang media program Fam Trip Media Promosi Industri Halal Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Beliau berkata pembangunan aplikasi itu juga seiring dengan agenda digitalisasi Selangor sebagai negeri pintar menjelang 2025.

“Masyarakat sekarang bukan hanya memfokuskan aspek halal dalam makanan sahaja sebaliknya pelbagai produk.

“Jadi aplikasi ini akan meliputi semua produk antaranya farmaseutikal, dandanan diri dan kosmetik,” katanya.

Pada 26 November ketika membentangkan  Belanjawan #Selangor2022, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk Hab Halal Selangor di Pulau Indah, Klang bagi meneruskan kelangsungan dan kecemerlangan industri halal negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana kepada taman perindustrian halal pertama di Malaysia seluas 700 ekar itu bagi memenuhi akreditasi kualiti di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ramai ditipu, waspada aplikasi palsu Bank Negara

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan aplikasi MyBNM, yang telah ditamatkan penggunaannya oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada November tahun lepas, digunakan sebagai alat untuk menipu orang ramai.

Aplikasi MyBNM, merupakan satu kemudahan dalam talian yang pernah disediakan pihak BNM bermula November tahun 2015.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob dalam kenyataan hari ini berkata, mangsa dalam kes-kes ini akan dihubungi oleh pihak yang akan menyamar sebagai pegawai daripada agensi penguatkuasa, termasuklah pihak BNM.

Beliau berkata mangsa kemudiannya akan diminta untuk memuat turun aplikasi MyBNM yang palsu, dan melalui aplikasi itu, mangsa akan diminta untuk memasukkan maklumat seperti nama, nombor kad dan pin ATM, nama pengguna dan kata laluan.

“Setelah memperoleh maklumat itu, sindiket akan membuat pindahan wang dari akaun mangsa ke akaun pihak ketiga (keldai akaun),” katanya dan menambah mangsa hanya sedar ditipu setelah menyedari wang di dalam akaun milik mereka berkurang.

Berdasarkan rekod sepanjang tahun 2020, beliau berkata sejumlah 53 kes telah dilaporkan dengan kerugian berjumlah RM1.19 juta, manakala bagi tempoh Januari hingga April tahun 2021, jumlah kes yang dicatatkan telah meningkat kepada 57 kes, melibatkan kerugian RM1.7 juta.

“Bagi menangani peningkatan ini, tindakan pembanterasan dan pencegahan yang melibatkan usaha sama antara PDRM serta kesedaran masyarakat perlu dilaksanakan, dengan lebih efektif.

“Di peringkat PDRM, JSJK komited untuk melipat gandakan usaha, khususnya daripada aspek siasatan badan operasi,” katanya.

Beliau berkata di pihak masyarakat, PDRM menyeru agar aspek pencegahan jenayah yang merangkumi ilmu pegetahuan, kewaspadaan dan sebagainya, sentiasa dititikberatkan.

“Jangan mudah percaya dengan panggilan yang dikatakan daripada pihak penguatkuasa Lembaga Hasil Dalam Negeri, polis atau bank, yang diminta untuk memuat turun atau mendaftar dalam aplikasi MyBNM. Jangan klik mana-mana pautan, memuat turun apa-apa aplikasi mudah alih yang tertera nama MyBNM atau logo BNM,” katanya.

Zainuddin meminta orang ramai agar membuat semakan pengesahan melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau memuat turun aplikasi ‘semak mule CCID’ sebelum membuat sebarang transaksi.

Selain itu, hubungi CCID Scam Response Center melalui talian 03-261-1559/03-26101599 jika mempunyai sebarang maklumat atau keraguan berkaitan jenayah komersial.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Aplikasi mudahkan warga PPR buat aduan, daftar program negeri

SHAH ALAM, 17 APRIL: Aplikasi khusus buat penghuni projek perumahan rakyat (PPR) diwujudkan bagi membantu komuniti di kawasan terbabit membuat aduan.

Penasihat utama Think City berkata sistem Kita untuk Kita (K2K) yang dibangunkan bersama Kerajaan Selangor juga memudahkan penduduk mendapat maklumat berkaitan program negeri.

“Ia juga meliputi maklumat bantuan kewangan, barangan dan sebagainya dengan syarat pengguna aplikasi berkenaan mestilah penghuni PPR.

“Melaluinya, program negeri sedia ada lebih mudah dimaklumkan untuk manfaat penghuni PPR seperti program keusahawanan yang dapat meningkatkan sumber pendapatan,” kata Dr Shahridan Faez kepada Selangorkini.

Beliau menambah hanya PPR Kampung Baru Hicom menggunakan aplikasi itu setakat ini, yang secara tidak langsung membentuk pengurusan komuniti secara sistematik.

Petang tadi, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat sekitar PPR terbabit sempena Hari K2K dan merasmikan pusat pengurusan Perumahan dan Hartanah Selangor.

Inisiatif yang dibangunkan susulan pandemik Covid-19 merangkumi aspek sosial, ekonomi, kesihatan dan infrastruktur PPR boleh dimuat turun di Google Play Store.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

TNB sasar pasang 1.5 juta meter pintar di Lembah Klang, Melaka

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Sebanyak 1.5 juta pemegang Akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Melaka dan Lembah Klang bakal dilengkapi dengan meter pintar menjelang hujung tahun ini.

Pengarah Projek Infrastruktur Pemeteran Maju (AMI) TNB Ir Mohamed Ghous Ahmad berkata setakat ini pihaknya telah memasang kira-kira 1.06 juta meter pintar tersebut di kedua-dua kawasan berkenaan.

Di Melaka, beliau berkata TNB telah memasang kira-kira 300,000 meter pintar manakala di kawasan Lembah Klang lebih kurang 706,000 rumah dilengkapi dengan alatan berkenaan.

“Antara kawasan di Selangor yang telah dilengkapi dengan meter pintar ini ialah Shah Alam, Cheras, Bangi dan Petaling Jaya manakala di Kuala Lumpur antara kawasannya di Bangsar, Bandar Sri Damansara, Segambut dan Ampang.

“Melalui Peraturan Berasaskan Insentif (IBR), TNB diberi peruntukan untuk memasang sebanyak 1.5 juta meter pintar menjelang penghujung tahun ini dan berdasarkan jumlah yang dipasang sekarang kita yakin bakinya akan dapat dipasang menjelang akhir tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Mohamed Ghous berkata pihaknya juga kini sedang dalam usaha untuk mendapatkan peruntukan tambahan daripada kerajaan pusat untuk melengkapkan kesemua tiga juta pengguna TNB di Lembah Klang dengan meter pintar.

“Selepas itu kita sasarkan kesemua 9.1 juta pengguna TNB di seluruh negara akan dilengkapi dengan meter pintar menjelang 2026,” katanya.

Sementara itu, Ketua Retail TNB Selangor Ismail Lathifi Teh berkata pemasangan meter pintar tersebut akan memberi pelbagai kelebihan kepada pelanggan kerana selain untuk melihat dan membayar bil TNB, pengguna juga boleh memantau jumlah penggunaan tenaga elektrik secara harian.

“Dengan meter pintar ini, data penggunaan akan dihantar setiap 30 minit sekali ke pusat penyimpanan data TNB, bagi pengguna yang mempunyai aplikasi MyTNB mereka boleh memantau dan mengawal penggunaan tenaga elektrik secara harian dan ia juga mendidik pengguna untuk menggunakan tenaga secara berhemah,” katanya.

Beliau berkata TNB berharap lebih ramai pengguna akan memuat turun aplikasi berkenaan dan memanfaatkannya, dan syarikat itu menyasarkan pada penghujung tahun ini 80 peratus pengguna TNB akan menggunakan aplikasi tersebut.

Beliau turut menasihati orang ramai untuk menghubungi talian TNB jika terdapat keraguan terhadap individu atau kontraktor yang hadir bagi menukar meter di kediaman mereka.

Bagi pengguna yang masih ragu-ragu dengan kontraktor kami, mereka boleh menghubungi talian khidmat pelanggan TNB 1-300-88-5454 dan TNB akan menghantar kakitangan untuk memantau keadaan, katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Aplikasi Moovit bantu penumpang Rapid Bus rancang perjalanan

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), pengendali operasi perkhidmatan bas Rapid KL, Go KL dan SMART Selangor, hari ini mengumumkan ketersediaan maklumat sebenar lokasi bas menerusi aplikasi Moovit.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Muhammad Yazurin Sallij berkata dengan aplikasi itu, penumpang dapat menyemak lokasi semasa sebenar bagi laluan bas di Lembah Klang termasuk bas perantara Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Go KL dan beberapa laluan perkhidmatan bas Smart Selangor terpilih.

“Selain itu, ia menyajikan pilihan perjalanan lain seperti kombinasi perkhidmatan bas dan rel, memberikan maklumat hentian bas dan jangkaan masa perjalanan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dengan adanya kemudahan maklumat perjalanan ini melalui aplikasi telefon pintar, penumpang juga boleh menanti bas mereka sambil bersantai atau melakukan aktiviti lain sementara menunggu ketibaan bas.

“Kerjasama dengan Moovit merupakan sebahagian inisiatif Rapid Bus untuk menjalinkan kolaborasi bersama pembangun aplikasi pihak ketiga yang terpilih. Kemudahan itu akan memanfaatkan ribuan pengguna perkhidmatan bas awam di Lembah Klang,” katanya.

Muhammad Yazurin berkata sebelum ini, pihaknya telah melancarkan perkongsian data masa nyata atau ‘real-time’ bersama Google Maps pada 18 Jun lepas.

“Kedua-dua inisiatif ini menandakan satu titik baharu dalam perkongsian data kedudukan bas secara real-time bagi kemudahan para pelanggan kami.

“Inisiatif-Inisiatif kolaboratif ini adalah pelopor kepada inisiatif perkongsian data terbuka yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut merancang meluaskan rangkuman data lokasi kepada perkhidmatan bas perantara MRT, Rapid Penang di Pulau Pinang dan Rapid Kuantan di Pahang pada masa hadapan.

Pengguna perkhidmatan bas Rapid KL boleh memuat turun aplikasi Moovit daripada Google Play atau Apple App Store.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Grab perkenal program bantu peniaga kecil ceburi ekonomi digital

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Aplikasi terkemuka di Asia Tenggara, Grab berkata lebih 10,000 individu telah menyertai ekonomi gig di Malaysia, manakala bilangan peniaga yang mengalihkan perniagaan mereka ke dalam talian menokok dua kali ganda setiap bulan antara Mac dan Mei 2020 berbanding sebelum pandemik Covid-19.

Maklumat ini terkandung dalam Edisi Kedua ‘Grab for Good : Social Impact Report’ yang dikeluarkan hari ini.

Menurut laporan itu, memandangkan negara sedang mempercepatkan langkah ke arah pendigitalan lebih luas, Grab akan memperkenalkan program Grab Digital Small-Biz (GDS) bertujuan untuk membantu perniagaan kecil menyesuaikan diri dengan normal baharu ini.

Program ini memiliki alat dan inisiatif yang membantu perniagaan fizikal beralih ke dalam talian, serta membantu mereka yang sudah berada di platform Grab mengembangkan keterlihatan dan menyesuaikan operasi mereka ke dunia yang semakin digital.

Pengarah Urusan Grab Malaysia Sean Goh berkata, perniagaan kecil dan usahawan mikro yang sudah memasuki ke dalam talian menyaksikan peningkatan sebanyak 25 peratus dalam hasil mereka melalui platform Grab sepanjang tempoh ini.

Antara Mac dan April 2020, Grab Malaysia telah melancarkan 11 inisiatif bagi menyokong perniagaan kecil, pemacu serta rakan kongsi penghantaran, barisan hadapan termasuk komuniti yang terjejas oleh Covid-19.

Program GDS akan memudahkan sama ada dengan kaedah memberi usahawan sebuah kedai digital dalam platform Grab atau melalui integrasi e-pembayaran.

Antara komponen utama program ini adalah harga GrabExpress yang lebih rendah, sokongan iklan percuma termasuk iklan yang boleh disesuaikan, serta membantu mereka menerima bayaran dalam talian melalui Remote GrabPay Link dan membaiki keterlihatan perniagaan melalui segmen ‘Nearby Merchants’ di aplikasi Grab.

Grab turut bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha untuk menghubungkan usahawan luar bandar dengan ekonomi digital melalui pelbagai inisiatif yang merangkumi Shop Malaysia Online, DesaMall dan Inisiatif Digital Selangor-Grab.

“Syarikat swasta seperti Grab menggunakan platform dan teknologi untuk mencari jalan bagi membolehkan usahawan kecil mikro atau perniagaan agar terus berlangsung terutama dalam tempoh yang mencabar ini.

“Memang masa hadapan adalah tidak menentu tetapi kita adalah komuniti yang tahu bagaimana menghadapi kesusahan dan berkembang maju,” kata Goh.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Guna aplikasi kod QR masuk premis digalakkan

SHAH ALAM, 3 JUN: Kerajaan menggalakkan penggunaan aplikasi menjejak kontak menggunakan kod QR ketika memasuki premis perniagaan tetapi ia tidak diwajibkan mengikut Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya mengarahkan butiran seperti nama dan nombor telefon sahaja direkodkan jika pengguna tidak mempunyai aplikasi bagi memudahkan urusan jika berlaku kes positif Covid-19.

“Kalau sesuatu yang diwajibkan ia mesti terdapat dalam peraturan Akta 342, yang ini (aplikasi) tidak ada. Seperti juga pemakaian pelitup muka dan sebagainya, digalakkan,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Di peringkat Persekutuan aplikasi MySejahtera digunakan untuk memberikan maklumat terkini Covid-19 manakala Selangor memperkenalkan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) untuk merekodkan data pengunjung ke premis perniagaan.

Ismail Sabri berkata peraturan di peringkat negeri perlu selaras dengan Persekutuan bagi memudahkan urusan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Categories
SELANGOR

Nelayan perlu guna aplikasi Kesedaran, Keselamatan dan Komuniti Maritim (K3M)

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEKINCHAN, 13 OGOS : Nelayan perlu menggunakan sepenuhnya Aplikasi Kesedaran, Keselamatan dan Komuniti Maritim (K3M), demikian saran Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Azlisha Ab Aziz.

Katanya, melalui aplikasi itu nelayan boleh mendapatkan bantuan daripada agensi yang bertanggungjawab jika berada dalam kecemasan.

“Hanya dalam tempoh tiga minit, bantuan akan diberikan. Jadi, saya nasihatkan supaya nelayan gunakan sepenuhnya aplikasi ini dengan baik,” katanya ketika sesi dialog bersama nelayan Sekinchan, di Pantai Redang, hari ini.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dalam ucapanya berkata, aplikasi K3M dibangunkan dengan jelas untuk memberi bantuan kepada komuniti maritim secara percuma dan mudah.

Katanya, beliau mahu setiap nelayan yang mempunyai telefon bimbit memuat naik aplikasi itu dengan kadar segera.

“Saya difahamkan, bahawa masih ramai yang belum menggunakan aplikasi ini kerana beranggapan bahawa ia tidak mesra kepada masyarakat, di sini.

“Tetapi ramai juga yang tidak mengetahui bahawa aplikasi ini dilengkapi dengan empat bahasa utama iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil,” katanya.