Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kes Covid-19 di Selangor turun sedikit, Petaling kekal tertinggi

SHAH ALAM, 15 APRIL: Jangkitan baharu Covid-19 di negeri ini turun sedikit dengan mencatat 459 kes berbanding 517 semalam.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata Petaling kekal tertinggi iaitu 203 kes berpunca dari saringan kontak rapat.

“Terdapat 68 kes di mukim Damansara diikuti mukim Petaling (54), Bukit Raja (41) dan mukim Sungai Buloh (40).

“Hulu Langat masih di kedudukan kedua tertinggi dan meningkat kepada 136 kes juga berpunca dari saringan kontak rapat.

“Sebanyak 68 kes dikesan di mukim Cheras, mukim Kajang (27), mukim Ampang (24), Penjara Jalan Harapan (12), mukim Semenyih (tiga) dan mukim Hulu Langat (dua),” katanya di Facebook.

JKNS berkata daerah Klang merekodkan 65 kes diikuti Gombak (20), Sepang (17), Kuala Selangor (9), Kuala Langat (5), Hulu Selangor (tiga) dan Sabak Bernam (satu).

Tambahnya, sebanyak 354 kes sembuh direkodkan dan terdapat tiga kematian baharu.