Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor catat kes Covid-19 lebih 700 empat hari berturut-turut

SHAH ALAM, 26 APRIL: Jangkitan baharu Covid-19 di Selangor mencatat lebih 700 kes empat hari berturut-turut, termasuk hari ini 762 kes.

Negeri ini merekodkan 751 kes semalam, 768 kes pada Sabtu dan 748 kes pada Jumaat.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan daripada jumlah kes hari ini, 744 kes tempatan, 17 kes melibatkan penjara dan satu lagi kes import.

“Manakala terdapat 452 kes sembuh menjadikan jumlah pulih sebanyak 124,959 serta tiga kematian,” kata JKNS menerusi Facebook.

Petaling merupakan daerah yang mempunyai kes tertinggi dengan jumlah 214, diikuti Hulu Langat (194), Gombak (136) dan Kuala Langat (115).

Lima daerah lagi merekodkan antara dua kes (Sabak Bernam) hingga 60 kes (Klang).

Jangkitan Covid-19 di negara ini mencatatkan 2,776 kes hari ini dan Selangor merupakan negeri tertinggi diikuti Sarawak dengan 615 kes.