Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor mahu pastikan matlamat penubuhan koperasi tercapai

SUBANG JAYA, 19 APRIL: Tadbir urus koperasi yang ada di negeri ini akan diteliti bagi memastikan matlamat penubuhannya tercapai.

EXCO pembangunan usahawan berkata banyak koperasi memiliki potensi besar serta mencatat kecemerlangan malah ada yang mendapat pengiktirafan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

“Baru-baru ini SKM umum beberapa koperasi negeri Selangor antara yang teratas (cemerlang). Rugi sekiranya kita tidak manfaatkan.

“Kita pernah rancang untuk bagi suntikan dari aspek memperbetulkan semula organisasi jawatankuasa atau model perniagaan mereka. Ini untuk pastikan mereka berjaya,” kata Rodziah Ismail ketika ditemui majlis perasmian gerai jualan Koperasi Usahawan Groom Big Selangor Berhad i Subang Parade semalam.

Pengerusi Koperasi Selangor itu berkata koperasi yang cemerlang mampu melaksanakan program sendiri namun perlu mendapat tunjuk ajar.

“Koperasi ini penting kerana kita dapat ubah penduduk selain jadikan ia sebagai ruang atau platform untuk berjaya.

“Sekiranya takut bergerak sendiri, koperasi ini akan memberi kekuatan serta sokongan,” katanya.