Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tourism Selangor anjur latihan, bantu agensi rancak sektor pelancongan

SHAH ALAM, 13 APRIL: Tourism Selangor menganjurkan Bengkel Latihan Pakej Pelancongan Domestik “Pusing Selangor Dulu” bagi memantapkan strategi pemasaran agensi pelancongan negeri ini.

Latihan itu memberi pengenalan serta meningkatkan pengetahuan produk pelancongan negeri kepada agensi yang berdaftar di bawah kerjasama Malaysian Inbound Tourism Association (Mita).

“Antara objektif termasuk membantu agensi dan pengusaha produk pelancongan mempromosi, menjalinkan kerjasama erat antara penggiat industri serta mewujudkan pakej pelancongan yang berpotensi dan berkualiti.

“Bengkel latihan selama satu hari dengan dua sesi ini dihadiri oleh 60 peserta,” katanya dalam kenyataan.

Selain Mita, Tourism Selangor turut menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak di peringkat pentadbiran serta pihak berkuasa tempatan dalam merancakkan sektor berkenaan.

Sebelum ini, EXCO pelancongan Hee Loy Sian berkata Kerajaan Negeri menggalakkan orang ramai melancong ke negeri ini menggunakan khidmat agensi pelancongan bertauliah.

Oleh itu, Tourism Selangor menetapkan sasaran penjualan sebanyak 8,000 pakej pelancongan domestik “Pusing Selangor Dulu” sehingga akhir 2021.