Categories
AGENDA JENAYAH

Judi dalam talian: Empat lelaki warga China ditahan

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Polis menahan empat lelaki warga China disyaki menjalankan sindiket pusat panggilan perjudian dalam talian dan penipuan pelaburan saham, di sebuah unit kondominium di Mont Kiara, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Saiful Annuar Yusoff berkata kesemua suspek berumur 26 hingga 32 tahun itu yang ditahan pada 6.35 petang didapati menyasarkan mangsa dari China bagi mengaut keuntungan.

Beliau berkata mereka yang menjalankan kegiatan terbabit didapati telah menyewa premis berkenaan sejak lima bulan lepas dengan kadar sewa RM8,000 sebulan.

“Suspek juga menerima bayaran gaji sebanyak RM6,500 sebulan berikutan penglibatan mereka dalam kegiatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saiful Annuar berkata hasil serbuan antaranya turut merampas sembilan komputer riba, 26 buah telefon bimbit, satu unit modem selain wang tunai tempatan RM95,550 dan wang tunai asing dengan nilai rampasan kesemuanya berjumlah RM180,000.

“Susulan itu, kesemua suspek ini direman hari ini bagi meneruskan siasatan lanjut,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi terbuka dan Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam perkembangan lain, polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 52 tahun selepas pemeriksaan di dalam kenderaannya di kawasan perumahan flat kos rendah di Jalan Seri Sentosa menemukan sepucuk pistol tiruan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata penahanan dibuat ke atas suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Axia dalam keadaan mencurigakan pada 2.40 pagi susulan rondaan pihak polis.

Beliau berkata hasil pemeriksaan juga menemukan sebutir peluru yang diletakkan di dalam pistol terbabit selain satu kad penama bertulis ASP Ng Thean Leng serta kasut berwarna hitam dipercayai digunakan untuk tujuan jenayah.

“Hasil siasatan lanjut juga mendapati suspek turut mempunyai satu rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anuar berkata kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki sepucuk pistol tiruan dan barangan yang disyaki digunakan untuk tujuan melakukan jenayah dan suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 14 Mei untuk siasatan lanjut.

– BERNAMA