Categories
AGENDA NASIONAL

Kajian: PRN Sabah punca gelombang ketiga Covid-19

SHAH ALAM, 29 MEI: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjadi faktor peningkatan kes Covid-19 sehingga mencecah 2,979 jangkitan baharu selepas minggu pertama berakhirnya hari mengundi.

Berdasarkan kajian jurnal PLOS Computational Biology, sebanyak 70 peratus kes baharu dikesan di negeri itu antara 26 September (hari mengundi) sehingga 12 Oktober lalu, lapor MalaysiaKini.

Penganalisis kajian merupakan anggota dari Saw Swee Hock School of Public Health Universiti Kebangsaan Singapura yang menjadikan PRN terbabit sebagai kajian kes untuk melihat sama ada perhimpunan ramai punca penularan wabak.

Menurutnya, daerah Semporna mencatatkan kes tertinggi iaitu 95.7 peratus diikuti Tawau (79.5 peratus) dan Lahad Datu (96.7 peratus).

Manakala, sebanyak 64.4 peratus kes baharu ketika itu dikaitkan dengan PRN Sabah yang menjadikan sejumlah 4,720 kes seluruh negara.

“Kami menunjukkan yang anggaran ini bukan disebabkan tren sedia ada, usaha pemantauan dan/atau dasar pencegahan. Jangkaan ini menunjukkan kemungkinan perhimpunan ramai di satu kawasan ‘melimpah’ kepada penularan seluruh negara.

“Maka pelonggaran sekatan perhimpunan ramai perlu dipertimbang secara cermat, walaupun ketika jangkitan komuniti yang rendah dan penguatkuasaan garis panduan penjarakan yang selamat,” kata penulis kajian.

Kajian itu berdasarkan pemodelan komputer trend Covid-19 di Malaysia dari 22 Mac hingga 12 Oktober, iaitu sehari sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah.

Malah, sejak 10 Jun hingga hari pengundian 26 September tahun lalu hanya 16 kes baharu direkod di Malaysia namun kes mulai meningkat kepada 190 kes sehari selepas PRN, yang mana majoriti dikesan di Sabah.

Menurut kajian lagi, kadar pematuhan tatacara oeprasi piawai (SOP) dan pemakaian pelitup muka juga rendah dalam kalangan ahli politik serta rombongan dan juga hadirin perhimpunan.