Categories
AGENDA NASIONAL

Kajian: PRN Sabah punca gelombang ketiga Covid-19

SHAH ALAM, 29 MEI: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjadi faktor peningkatan kes Covid-19 sehingga mencecah 2,979 jangkitan baharu selepas minggu pertama berakhirnya hari mengundi.

Berdasarkan kajian jurnal PLOS Computational Biology, sebanyak 70 peratus kes baharu dikesan di negeri itu antara 26 September (hari mengundi) sehingga 12 Oktober lalu, lapor MalaysiaKini.

Penganalisis kajian merupakan anggota dari Saw Swee Hock School of Public Health Universiti Kebangsaan Singapura yang menjadikan PRN terbabit sebagai kajian kes untuk melihat sama ada perhimpunan ramai punca penularan wabak.

Menurutnya, daerah Semporna mencatatkan kes tertinggi iaitu 95.7 peratus diikuti Tawau (79.5 peratus) dan Lahad Datu (96.7 peratus).

Manakala, sebanyak 64.4 peratus kes baharu ketika itu dikaitkan dengan PRN Sabah yang menjadikan sejumlah 4,720 kes seluruh negara.

“Kami menunjukkan yang anggaran ini bukan disebabkan tren sedia ada, usaha pemantauan dan/atau dasar pencegahan. Jangkaan ini menunjukkan kemungkinan perhimpunan ramai di satu kawasan ‘melimpah’ kepada penularan seluruh negara.

“Maka pelonggaran sekatan perhimpunan ramai perlu dipertimbang secara cermat, walaupun ketika jangkitan komuniti yang rendah dan penguatkuasaan garis panduan penjarakan yang selamat,” kata penulis kajian.

Kajian itu berdasarkan pemodelan komputer trend Covid-19 di Malaysia dari 22 Mac hingga 12 Oktober, iaitu sehari sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah.

Malah, sejak 10 Jun hingga hari pengundian 26 September tahun lalu hanya 16 kes baharu direkod di Malaysia namun kes mulai meningkat kepada 190 kes sehari selepas PRN, yang mana majoriti dikesan di Sabah.

Menurut kajian lagi, kadar pematuhan tatacara oeprasi piawai (SOP) dan pemakaian pelitup muka juga rendah dalam kalangan ahli politik serta rombongan dan juga hadirin perhimpunan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Perangi Covid-19, ambil iktibar PRN Sabah – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Rakyat Malaysia perlu bersatu dan bersama dalam memerangi wabak Covid-19 bukan bertelagah antara satu sama lain, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi posting di laman Facebook beliau semalam, Dr Noor Hisham turut menasihatkan orang ramai agar mengambil iktibar daripada Pilihan Raya Negeri Sabah.

“Petugas barisan hadapan bertahan berada di lapangan selama 24/7 dalam tempoh 10 bulan sebelum ini. Keletihan dari segi mental dan fizikal. Ada yang hampir menyerah. Tolonglah ambil iktibar daripada PRN Sabah dan jangan ulangi lagi,” katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi posting, Dr Noor Hisham meminta rakyat Malaysia bersama dan berusaha sedaya upaya untuk sekali lagi melandaikan lengkung penularan Covid-19 di negara ini.

“Ia adalah cabaran untuk melindungi dan mencapai keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi dalam memerangi Covid-19. Hilang keseimbangan bermakna kehilangan nyawa dan mata pencarian. Bersama-sama kita mengubah sesuatu yang mustahil kepada kejayaan melandaikan lengkung sekali lagi,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis bertugas PRN Sabah, keluarga positif Covid-19

PORT DICKSON, 8 OKT: Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop hari ini mengesahkan, seorang anggota polis di negeri ini didapati positif Covid-19.

Beliau berkata anggota berkenaan yang berusia lingkungan 30-an dari Unit Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu, disahkan positif setelah pulang daripada bertugas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini.

“Turut disahkan positif Covid-19 ialah isterinya yang berusia dalam lingkungan 30-an serta tiga anak pasangan itu, berusia antara tiga dan enam tahun.

“Namun, masyarakat tidak perlu khuatir kerana anggota tersebut telah dikuarantin mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan. Setelah didapati positif, anggota polis terbabit bersama keluarganya, dimasukkan ke Hospital Rembau yang merupakan hospital khas Covid-19 untuk rawatan susulan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peringatan 100 Tahun Pondok Polis Pengkalan Kempas. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman dan Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed.

Setakat semalam, Negeri Sembilan merekodkan satu kes baharu Covid-19 iaitu di Jimah, Port Dickson, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri berkenaan sebanyak 1,063 kes.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 700 pegawai, anggota polis jalani kuarantin selepas PRN Sabah

KUANTAN, 2 OKT: Lebih 700 pegawai dan anggota polis kini menjalani kuarantin selepas ‘diterbangkan’ ke Sabah bagi membantu operasi sepanjang pilihan raya negeri (PRN) itu, kata Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Ramli Din.

Beliau berkata daripada jumlah itu, lebih 200 kakitangan ialah dari Semenanjung yang kini ditempatkan di sebuah hotel yang diwartakan sebagai pusat kuarantin oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) manakala bakinya dari Sarawak yang diarahkan menjalani kuarantin di sebuah pusat latihan di negeri tersebut.

“Kita mula menghantar bantuan tenaga ke Sabah secara berperingkat sebelum hari penamaan calon (12 September) dan jumlah pegawai dan anggota yang perlu dihantar semakin meningkat menjelang hari pengundian kerana lebih ramai anggota sedia ada di sana perlu dikuarantin.

“Mereka yang menjalani proses kuarantin kini sedang menunggu keputusan ujian saringan dan belum dibenarkan pulang ke rumah kerana kita tidak mahu mengambil risiko berlaku penularan disebabkan oleh anggota kita yang telah berkhidmat di Sabah,” katanya.

Ramli berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2020 di Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini, yang dirasmikan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Turut hadir ialah Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan dan Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ramli menjelaskan walaupun jumlah mereka yang perlu menjalani kuarantin agak besar, perkara itu tidak menjejaskan perjalanan atau operasi pihak polis di negeri yang menghantar pegawai atau anggota tersebut.

Ditanya kesediaan polis jika kerajaan mahu melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran peningkatan kes positif Covid-19 selepas PRN Sabah, Ramli berkata mereka tidak mempunyai kesukaran kerana sudah berpengalaman daripada PKP sebelum ini.

Mengulas mengenai Hari Inovasi itu, Ramli berkata untuk tahun ini mereka menerima 35 penyertaan melibatkan ciptaan baharu atau inovasi ke atas kemudahan sedia ada yang dapat membantu memudahkan atau menambah baik pelaksanaan tugas polis.

Sebagai contoh, beliau merujuk kepada inovasi oleh polis Kedah dua tahun lalu, dinamakan ‘ballistic chamber’ yang digunakan pegawai atau anggota untuk mengosongkan senjata api sebelum diserahkan kepada bahagian persenjataan, sekali gus mengurangkan risiko berlaku kemalangan tembakan.

Beliau juga berkata setiap rekaan dan inovasi yang dihasilkan perlu melepasi piawaian SIRIM sebelum boleh dikembangkan untuk kegunaan dalaman polis, selain terdapat beberapa produk yang dihasilkan menerima ‘lamaran’ daripada pihak swasta untuk dimajukan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN pertahan dua kerusi, undi naik dua kali ganda di DUN Sook

SHAH ALAM, 27 SEPT: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada pimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sabah kerana berjaya mempertahan dua kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presidennya berkata parti itu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api menerusi calonnya Datuk Christina Liew selain mampu memperoleh peningkatan undi dua kali di DUN Sook milik Raymond Ahuar.

“Tahniah diucapkan kepada Christina selaku pengerusi KEADILAN Sabah di atas kejayaan mempertahan dua kerusi yang dimenangi pada PRU14.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada rakan parti Warisan Plus, khususnya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Warisan yang memenangi 23 kerusi DUN, DAP (6) dan UPKO yang berjaya memenangi satu
kerusi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Anwar berkata partinya menghormati keputusan dibuat rakyat Sabah yang menyaksikan Warisan Plus tumbang serta berharap pembentukan kerajaan negeri baharu dilakukan dengan aman, bijaksana dan penuh
hikmah.

“Saya pohon semua pihak termasuk pimpinan parti akur dengan arahan Kementerian Kesihatan berkaitan Covid-19 terutama dalam isu saringan dan kuarantin.

“Peningkatan mendadak kes terutama jangkitan dalam komuniti amat membimbangkan dan saya berdoa agar rakyat Malaysia sentiasa patuh tatacara operasi piawai (SOP) KKM dan dilindungi dari wabak ini,” katanya.

Pada PRN Sabah semalam, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terdiri Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) berjaya memperoleh majoriti selepas meraih 38 daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Categories
AGENDA NASIONAL

GRS menang 38 kerusi, ambil alih Sabah

KOTA KINABALU, 27 SEPT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 semalam.

GRS mendapat 38 kerusi, kelebihan satu kerusi daripada majoriti mudah 37 kerusi di Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 73 kerusi sekarang.

GRS terdiri daripada Perikatan Nasional (PN) yang memenangi 17 kerusi, Barisan Nasional (14 kerusi) dan PBS (tujuh kerusi).

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan kedudukan kerusi hasil keputusan pilihan raya itu berkata Warisan memperoleh 29 kerusi, PKR (dua kerusi) dan UPKO (satu kerusi) serta Bebas (tiga kerusi).

Ini menjadikan Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan, DAP, PKR dan UPKO mendapat 32 kerusi.

Setakat 1 pagi, siapa yang menjadi ketua menteri baharu belum diketahui lagi dan perbincangan mengenainya masih berlangsung.

Begitu juga, belum ada makluman mengenai upacara mengangkat sumpah ketua menteri baharu setakat ini.

Pilihan raya itu diadakan selepas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah pada 30 Julai, sehari selepas bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.

“Saya selaku Pengerusi BN Sabah, ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Sabah yang ingin berubah daripada jajahan Parti Warisan Sabah (Warisan).

“GRS sedang berbincang untuk menentukan hala tuju dan juga masalah lain dan kita akan memastikan kerajaan baharu ini akan telus dan terus membela rakyat Sabah,” kata Bung Moktar pada sidang akhbar di sini.

PRN Sabah yang diadakan dalam keadaan negara masih berdepan ancaman Covid-19, menyaksikan 66.61 peratus daripada 1.12 juta rakyat Sabah keluar mengundi untuk memilih wakil rakyat di 73 DUN.

Pada PRN Sabah kali ini, seramai 447 calon mewakili 15 parti dan 56 calon Bebas, termasuk beberapa pemimpin utama seperti Presiden Kehormat Parti Liberal Demokratik (LDP) Tan Sri Chong Kah Kiat dan bekas Ketua Menteri Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, bertanding.

Salleh yang tewas ketika bertanding kerusi Parlimen Kota Belud pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas, berjaya merebut kerusi DUN Usukan dengan mengalahkan dua pencabarnya dalam pertandingan tiga penjuru.

Begitu juga dengan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang memenangi kerusi baharu DUN Lamag manakala Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor dan Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang berjaya mempertahankan kerusi masing-masing di Sulaman dan Tambunan.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Chong Kah Kiat yang tewas dalam pertandingan 10 penjuru di DUN Inanam manakala Presiden Parti Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Ketua Umum USNO Tan Sri Pandikar Amin Mulia, masing-masing tewas di DUN Kiulu dan Pintasan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat Sabah mengundi dalam suasana pematuhan SOP Covid-19

KOTA KINABALU, 26 SEPT: Sejurus pusat mengundi dibuka jam 7.30 pagi, orang ramai mengundi di saluran disediakan seperti dewan sekolah dan dewan masyarakat sambil mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Tinjauan Bernama, seawal 7 pagi lagi, rata-rata pengundi telah mula beratur dan menunggu giliran di pusat pengundian dengan lengkap memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal, selain kelihatan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan saringan suhu badan dan menyediakan pensanitasi tangan.

Di beberapa tempat, turut kelihatan, petugas SPR memakai peralatan perlindungan diri (PPE) bagi membawa warga emas yang berkerusi roda dari awal hingga selesai pengundian dalam keadaan cuaca yang baik dan cerah.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang juga calon Warisan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang dan isteri Datin Seri Shuryani Shuaib tiba di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Bubul, Semporna, kira-kira jam 8 pagi untuk mengundi.

Berkongsi di Twitternya, Ahli Parlimen Beluran, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee juga dilihat terawal beratur untuk mengundi bagi kerusi DUN Labuk di SK Pekan, Beluran.

Sebanyak 2,540 saluran di 741 pusat mengundi dibuka di semua 73 kerusi DUN pada jam 7.30 pagi ini bagi membolehkan rakyat Sabah memilih kerajaan baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Proses pengundian melibatkan kira-kira sejuta pengundi biasa akan dikendalikan 17,257 petugas pilihan raya sehingga waktu mengundi tamat pada jam 5 petang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PRN Sabah: Lebih sejuta rakyat dijangka keluar mengundi

KOTA KINABALU, 26 SEPT: Lebih sejuta rakyat Sabah akan keluar mengundi hari ini pada pilihan raya mengejut yang berlangsung dalam suasana pematuhan ketat tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 menyaksikan sejumlah 447 calon daripada 15 parti politik termasuk 56 calon Bebas bertanding bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam persaingan banyak penjuru dengan purata enam calon bagi setiap kawasan.

Petugas jabatan kesihatan dan anggota pasukan keselamatan berdepan tugas berat bagi memastikan rakyat dapat melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dan pada masa sama, keselamatan mereka terpelihara daripada jangkitan virus berbahaya itu.

Bagi tujuan itu, seramai 1,594 petugas kesihatan ditempatkan di pusat mengundi di seluruh Sabah manakala polis memberi jaminan bahawa rakyat boleh keluar menunaikan kewajipan mereka dengan tenang tanpa sebarang kebimbangan.

Sejumlah 14,935 pemilih berdaftar mengundi secara pos manakala 16,877 pengundi awal pula sudah melaksanakan tanggungjawab masing-masing pada 22 September lepas dengan 76 peratus keluar mengundi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata sebanyak 2,540 saluran dibuka di 741 pusat mengundi hari ini dari 7.30 pagi hingga 5 petang dan seramai 17,257 petugas pilihan raya akan memastikan pengundian berjalan lancar.

Beliau berkata SPR juga akan menggunakan 20 helikopter untuk urusan penghantaran kertas undi ke pedalaman termasuk pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Saliliran dalam kawasan DUN Nabawan serta Pulau Dinawan yang terletak dalam DUN Sulabayan.

Abdul Ghani turut memberi jaminan tidak akan ada pengundi hantu pada PRN kali ini.

Katanya keputusan dijangka diketahui seawal 10 malam.

Hari ini cuaca diramalkan hujan di satu dua tempat di bahagian Pantai Barat, Kudat, pedalaman dan Sandakan pada sebelah pagi manakala pada sebelah petang, Jabatan Meteorologi meramalkan berlaku ribut petir di satu dua tempat di bahagian Pantai Barat, pedalaman dan Sandakan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali pula memberi jaminan proses PRN Negeri Di bawah Bayu akan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan dan meminta orang ramai keluar mengundi tanpa sebarang keraguan.

Beliau memberi amaran pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang membuat provokasi dan kekecohan pada pilihan raya itu selain mengingatkan semua pengundi supaya mematuhi SOP bagi mengekang penularan Covid-19.

PRN Sabah hari ini juga bakal menyaksikan 13 DUN baharu iaitu Bengkoka, Bandau, Limbahau, Tulid, Segama, Kukusan, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Keramat, Lamag, Telupid dan Sungai Manila menjadi rebutan buat pertama kali.

Antara yang menjadi tumpuan ialah perebutan kerusi di DUN Senallang, Sulaman, Pintasan, Bongawan, Tambunan and Api-Api.

Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan mempertahan kerusi Senallang dalam pertandingan enam penjuru dengan saingan utama dijangka daripada anak buahnya sendiri iaitu Norazman Utoh Nain, calon Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga Pengerusi PN Sabah Datuk Hajiji Noor pula berdepan pertandingan tiga penjuru dengan pencabar utamanya juga adalah anak buah sendiri iaitu Datuk Aliasgar Basri, calon Warisan.

Ketua Umum USNO yang juga bekas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) yang juga bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew masing-masing bertanding di DUN Pintasan, Bongawan, Tambunan dan Api-Api.

Perebutan bagi kerusi DUN Api-Api dianggap paling panas kerana persaingan sengit dalam pertandingan sembilan penjuru yang menyaksikan penyandang Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew dicabar Timbalan Presiden PBS Datuk Dr Yee Moh Chai, Datuk Pang Yuk Min (Timbalan Presiden PCS), Datuk Chin Su Phin (Presiden LDP) dan lima calon lain.

PRN Sabah diadakan selepas Mohd Shafie membubarkan DUN pada 30 Julai sehari selepas bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa mendakwa telah memperoleh cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sabah: SPRM terima 10 laporan, satu kertas siasatan dibuka

KOTA KINABALU, 25 SEPT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima 10 laporan berkaitan rasuah sejak kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bermula 12 September lepas sehingga semalam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata daripada jumlah itu pihaknya telah membuka satu kertas siasatan melibatkan dua individu yang disyaki menerima wang tunai untuk diagihkan kepada pengundi.

“Siasatan ini masih dijalankan dan kedua-dua individu berkenaan masih lagi ditahan reman dan kita juga masih menjalankan siasatan berkenaan aduan-aduan yang lain,” katanya pada sidang media khas berhubung PRN Sabah di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Azam berkata SPRM akan terus melaksanakan pemantauan dengan seramai 106 pegawai berada di lapangan, selain bekerjasama dan berkongsi maklumat dengan pihak polis.

“Kita mempunyai bilik gerakan SPRM di Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu, Tawau dan Keningau yang beroperasi 24 jam dan ia juga boleh dihubungi di talian 0109436002,” katanya.

Sementara itu, Acryl Sani berkata secara keseluruhannya situasi keselamatan dan ketenteraman awam di Sabah adalah terkawal.

“Penugasan polis telah dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu seramai 7,600 pegawai dan anggota diatur tugas untuk memastikan PRN Sabah berjalan dengan baik.

“Seramai 1,700 pula ditugaskan untuk menjalankan tugas hakiki polis dan 1,700 anggota lagi dikerahkan untuk mengawal keselamatan khususnya di kawasan pantai timur Sabah,” jelasnya.

Beliau berkata untuk memastikan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19, sebanyak 73 pasukan telah ditubuhkan yang terdiri daripada 1,276 anggota dan pegawai serta dibantu 570 orang dari pelbagai agensi lain.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPR: Petugas diminta profesional, jaga integriti

KOTA KINABALU, 25 SEPT: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh telah meminta semua petugas SPR menjaga integriti dan profesional serta tidak memihak mana-mana pihak yang bertanding semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada Sabtu ini.

Beliau berkata perkara itu penting bagi memastikan pilihan raya itu berjalan lancar dan teratur tanpa sebarang gangguan.

“Saya mohon semua petugas yang dilantik SPR mengambil segala langkah yang menjamin keselamatan kesihatan, ketelusan proses mengendalikan pilihan raya dan juga untuk memastikan profesionalisme yang tinggi ketika melaksanakan tugas bagi mengekalkan integriti pilihan raya.

“Saya juga menyeru semua pihak yang terlibat supaya memberi kerjasama agar proses pilihan raya berjalan dengan lancar dan sempurna,” katanya pada sidang media khas sempena PRN Sabah di sini semalam.

Hadir sama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Abdul Ghani berkata sejak pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai lepas, semua proses persiapan pilihan raya telah berjalan dengan lancar dan teratur.

“Pada 22 September lalu, Hari Undi Awal juga telah berjalan dengan lancar tanpa insiden yang tidak diingini. Peratusan keluar mengundi 76 peratus iaitu melebihi sasaran SPR iaitu 75 peratus.

“Terima kasih kepada parti politik dan calon yang bertanding kerana mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa. Kerjasama ini diharap dapat diteruskan sehingga selesai proses PRN Sabtu ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sabah: 1,088,711 pengundi biasa layak mengundi esok

KOTA KINABALU, 25 SEPT: Seramai 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini, manakala 14,935 orang telah mengundi secara pos, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Isyak.

Ikmalrudin, dalam kenyataan semalam, memaklumkan bagi pengundi yang telah menerima kad pengundi atau yang telah mengetahui maklumat pengundian, mereka boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu membuat semakan di barung semakan SPR.

Beliau berkata SPR juga meletakkan maklumat ‘masa keluar mengundi yang digalakkan’ pada kad pengundi. Bagaimanapun, jika pengundi tidak dapat hadir pada masa berkenaan, mereka boleh keluar mengundi mengikut masa yang ditetapkan dari jam 7.30 pagi hingga 5 petang.

Pegawai dan anggota polis menunaikan tanggungjawab masing-masing pada proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri Sabah di Mess Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah pada 22 Sept 2020.
Foto BERNAMA

“Bagi pengundi yang tidak menerima kad pengundi kerana berkemungkinan berpindah atau belum mengetahui pengundian, mereka disarankan agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi,” katanya.

Ikmalrudin berkata pengundi diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan kad pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkan kepada kerani pengundian di saluran bagi memudahkan untuk membuat semakan.

Sehubungan itu, SPR menyeru semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi hari berkenaan.

PRN Sabah diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai lalu.

Ia menyaksikan 447 calon termasuk 56 calon Bebas bertanding bagi merebut 73 kerusi DUN termasuk 13 kerusi baharu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sabah: ATM nafi warga dijangkiti Covid-19 semasa undi awal

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan dakwaan terdapat jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga tentera setelah mencelup jari dalam dakwat sewaktu proses mengundi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kelmarin.

Markas ATM, dalam kenyataan hari ini, menyebut maklumat yang tular di media sosial adalah tidak benar dan boleh menimbulkan kekeliruan, kebimbangan masyarakat serta mengganggu proses PRN Sabah, Sabtu ini.

“Mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” menurut kenyataan itu.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang berita yang boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

“Sila dapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia berkenaan situasi semasa penularan wabak berkenan,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA