Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Karya genre Indie pupuk budaya membaca generasi muda

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 4 MEI: ‘Kelabu’, ‘Anarki di Kuala Lumpur’, ‘Ngeri’ adalah antara judul yang tidak asing lagi buat peminat buku Indie yang begitu popular sekitar tahun 2006.

Fenomena ‘indie’ yang tercetus daripada penulis bebas dalam industri buku Malaysia pernah mencapai zaman kegemilangan suatu ketika dahulu sehingga dapat menaikkan kembali minat membaca dalam kalangan generasi muda.

‘Indie’ berasal daripada perkataan bahasa Inggeris iaitu ‘independent’ yang bermaksud bebas, merdeka dan tidak bergantung kepada orang lain.

Kajian interim Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) terhadap budaya membaca mendapati, rakyat Malaysia membaca sebanyak 15 buah buku setahun pada tahun 2014, berbanding hanya lapan buah buku setahun pada tahun 2010.

Peningkatan itu secara tidak langsung dikaitkan dengan sumbangan penerbit buku Indie ketika zaman kegemilangannya, dari tahun 2006 hingga tahun 2016, dalam menarik minat membaca dalam kalangan generasi muda.

Namun, di sebalik kerancakan industri buku indie di Malaysia, tidak kurang juga ada yang mempertikaikan kewujudannya walaupun ia berjaya mengembalikan minat membaca dan memberi lebih banyak pilihan buku kepada golongan pembaca muda.

Ketua Pegawai Operasi dan Penerbitan ‘The Patriots’, Syazrul Aqram berkata, penerbitan indie sering dipandang serong oleh sesetengah pihak kerana gaya penulisannya bebas dan kadangkala melibatkan bahasa pasar serta kasar.

“Tidak terkecuali ada yang mempertikaikan buku indie dan melabelkannya sebagai perosak bahasa dan bahan bacaan bercorak ‘lawan arus’.

“Akan tetapi, penerbit indie kini juga cenderung dalam menerbitkan buku umum. Secara khususnya sesuatu bahan bacaan bercorak ‘indie’ hanya boleh digunakan untuk buku yang diterbit 100 peratus oleh penulis itu sendiri untuk sasaran pembaca mereka yang tertentu,” katanya kepada Bernama dalam wawancara baru-baru ini.

Generasi muda ‘lawan arus’

Menurut Syazrul Aqram, generasi muda sering dikenali dengan minat terhadap bahan yang ‘rare’ dan luar biasa yang mampu menarik perhatian mereka untuk mendalami bahan tersebut.

Beliau menjelaskan, generasi muda selalunya mahukan kelainan dan memandangkan buku indie ‘melawan arus’, ia dapat menarik minat mereka untuk menjadikannya sebagai bahan bacaan santai, tambahan gaya bahasa yang bersahaja dan dekat dengan cara hidup mereka.

“Sesetengah buku indie diselit dengan perkataan keras, bercampur aduk dengan bahasa Inggeris serta bahasa orang muda yang mungkin menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan penulis tradisional dan pejuang bahasa.

“Namun itulah sebenarnya kebebasan bersuara yang mahu dibawa oleh penulis indie, segala emosi dan apa yang difikirkan diolah terus ke dalam penulisan mereka supaya dekat dengan jiwa orang muda,” katanya, sambil menambah, penggiat indie juga wajar diberi peluang untuk membangunkan industri buku tempatan.

“Ketika pandemik COVID-19, kebanyakan penerbit buku berhadapan dengan pelbagai kesukaran dan memerlukan sokongan antara satu sama lain. Tapi kita percaya bahawa pandemik ini juga turut mengajar kita untuk tidak bergerak seorang malah haruslah bersama-sama berganding bahu untuk mengatasi cabaran itu.

“Tidak dapat dinafikan buku indie memberi banyak pilihan kepada pembaca khususnya golongan muda dan menyumbang kepada memupuk budaya membaca, oleh itu semua pihak perlu melihat sisi positif indie ini sebagai bentuk yang boleh diharapkan untuk memajukan modal insan,” katanya.

Pilih bahan dengan bijak

Pengasas Kelab Buku ‘The Classics Challengers’, Nazli Anim Mohd Ghazali berkata, tidak salah untuk menyokong golongan muda untuk membaca buku indie sekiranya ia dapat menanam sifat suka membaca dalam kalangan mereka.

Bagaimanapun, beliau berharap, mereka bijak memilih bahan bacaan indie yang dapat memberi ilmu pengetahuan dan bukannya memilih secara membuta-tuli semata-mata.

“Tanamlah tabiat membaca anda dengan mana-mana bahan bacaan sekali pun, asalkan dapat memupuk budaya itu. Saya percaya golongan muda ini akan menukar angin dengan beralih kepada pembacaan lebih serius mengikut peredaran zaman.

“Sebagai contoh, ada pembaca yang memulakan dengan buku-buku komik, kemudiannya mereka bertukar angin kepada pembacaan lebih serius seperti buku-buku dokumentari ataupun novel fiksyen.

“Tidak kira buku indie ataupun buku genre lain sekali pun, asalkan ia dapat memupuk budaya membaca dalam kalangan mereka, itu adalah merupakan titik tolak yang memberangsangkan kerana membaca itu jambatan ilmu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBM), Sakri Abdullah berkata buku-buku indie seharusnya dibiar berkembang dalam industri penerbitan buku supaya dapat memberi lebih banyak pilihan kepada pembaca.

Menurut beliau, masyarakat perlu diberi pengetahuan untuk bersikap selektif dalam memilih bahan bacaan yang disukai dan bukan hanya tertumpu kepada pembacaan serius semata-mata.

“Ibarat sedang memandu di atas lebuhraya, kita perlukan Rehat dan Rawat (R&R), buku indie ini boleh dibaca secara santai ketika rehat, setelah penat mentelaah buku akademik.

“Bagi pelajar pula, apabila mereka didedahkan dengan buku indie yang mempunyai bahasa kasar, pihak sekolah perlu mendidik mereka supaya bersikap selektif dalam memilih bahan bacaan dengan mempraktikkan elemen tapisan, ” katanya.

Sakri menambah, menerusi buku indie juga, pelajar juga dapat mengenal pasti bahasa yang sesuai digunakan dengan rakan dan golongan yang lebih tua di samping tahu bahasa mana yang dikira kasar dan tidak sesuai ditutur dalam perbualan seharian.

Beliau menambah, proses pemindahan ilmu daripada buku kepada pembaca tidak mengira jenis bahan bacaan sekali pun, asalkan ia memberi ilmu pengetahuan dan pembaca mempelajari sesuatu yang baharu.

“Sebagai contoh, sistem pendidikan Jepun menggunakan komik sebagai buku teks pelajar di sekolah kerana silibus pembelajaran di’komik’kan untuk kreativiti dan memberi pemahaman pantas kepada pelajar.

“Jika hanya bergantung kepada buku teks semata-mata, ia akan melahirkan golongan pelajar yang hanya ‘menghafal’ dan bukannya ‘belajar’, sekali gus menyukarkan mereka untuk menonjolkan diri apabila melangkah ke dunia pekerjaan,” katanya.

– BERNAMA