Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Covid-19 tinggi sedarkan masyarakat buat saringan

PETALING JAYA, 24 MEI: Peningkatan kes Covid-19 beri kesedaran kepada orang awam untuk menyertai Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Selangor.

Raihana Abd Rahman, 30, berkata pertama kali beliau menyertai saringan percuma itu dan ternyata ia tidak sakit seperti diuar-uarkan orang ramai.

Raihana Abd Rahman

“Ramai yang kata sakit tetapi apabila sudah melaluinya sendiri ia tidak sakit seperti yang saya sangka. Saya terpanggil untuk buat saringan ini sebab melihat kes yang semakin mencanak naik,” katanya.

Beliau ditemui pada program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Komuniti MBPJ 51A/227 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing hari ini.

Sementara itu, Sharifah Najiha Syed Osman, 38, yang juga antara orang kelainan upaya (OKU) tidak melepaskan peluang membuat saringan percuma meskipun sebelum ini pernah disaring.

Sharifah Najiha Syed Osman

“Saya ambil peluang menjalani saringan walaupun tiada kontak rapat kes positif. Orang ramai perlu merebut peluang disediakan Kerajaan Negeri ini,” katanya.

Manakala, Victor Low Weidao, 27, berharap saringan percuma itu diteruskan dari semasa ke semasa yang mana dapat membantu golongan berpendapatan rendah.

“Program ini perlu diteruskan kerana ramai dalam kalangan rakyat tidak mampu untuk bayar kos saringan terutama di hospital swasta,” katanya.

Victor Low Weidao

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.