Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP: Sektor ekonomi terus operasi, 30 peratus boleh ke pejabat

SHAH ALAM, 6 MEI: Semua sektor ekonomi termasuk perkilangan di enam daerah di Selangor beroperasi seperti biasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata tatacara operasi piawai (SOP) Am PKP mengikut arahan sedia ada, kecuali aktiviti makan di restoran.

“Syarikat perlu mematuhi SOP Am PKP dan tertakluk kepada tatacara bekerja dari rumah sedia ada iaitu hanya 30 peratus kakitangan pengurusan boleh hadir ke pejabat.

“Sementara kehadiran pekerja operasi atau sokongan ditentukan majikan mengikut budi bicara,” kata kementerian dalam kenyataan semalam.

MITI berkata aktiviti penguatkuasaan dipertingkat berdasarkan penilaian sistem amaran awal Hotspot Identification for Dynamic Engagement (Hide) yang mampu mengesan lokasi berisiko tinggi.

Menurut kementerian, langkah tersebut lebih bersasar dan efektif untuk mencegah penularan Covid-19 dalam komuniti berbanding penutupan secara keseluruhan.

“Mana-mana syarikat yang tidak mematuhi SOP akan dikenakan tindakan perundangan termasuk penutupan operasi syarikat untuk tempoh tertentu,” katanya.

SOP Am PKP boleh didapati melalui laman web Majlis Keselamatan Negara di www.mkn.gov.my.