Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sultan berpesan tidak ziarah raya demi kawal wabak

SHAH ALAM, 10 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru rakyat tidak melakukan amalan kunjung-mengunjung pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

Menerusi kenyataan Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah sedemikian susulan jumlah kes Covid-19 di negeri ini berada pada tahap membimbangkan.

“Beta amat bimbang dengan angka jangkitan baharu dan kematian di negeri ini yang semakin meningkat setiap hari.

“Justeru, beta mahu rakyat berkorban untuk tidak meneruskan amalan lazim hari raya seperti pulang ke kampung dan kunjung-mengunjung demi mengelakkan wabak ini terus merebak sehingga sukar dikawal,” titahnya.

Baginda turut berpesan supaya rakyat tidak mengambil mudah bahaya virus dan terus peka dengan situasi terkini di lokasi masing-masing.

Baginda juga mahu setiap individu yang perlu keluar ke tempat awam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) terutama penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dan memakai pelitup muka.

“Beta tidak mahu melihat lebih banyak kematian akibat wabak ini dan menyeru rakyat agar bersama membantu pihak berkuasa menghentikan penularan ini sepenuhnya,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam.

Hari ini, Putrajaya memutuskan untuk melarang ziarah rumah ke rumah ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri susulan trend kes harian Covid-19 yang semakin meningkat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata arahan itu susulan Majlis Keselamatan Negara bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara mulai Rabu ini hingga 7 Jun.