Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Tambah mesin pengimbas kod bar SELangkah, lancarkan Saringan Komuniti

PETALING JAYA, 24 MEI: Kerajaan Negeri dicadang menambah jumlah mesin pengimbas kod bar aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi kelancaran program Saringan Komuniti Covid-19.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia berkata penambahbaikan itu diyakini mampu melancarkan proses pengambil sampel kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) sekali gus menjimatkan masa orang ramai tanpa perlu menunggu lama.

“Kita dapati hanya satu mesin pengimbas kod bar disediakan di pusat saringan dan berikutan itu, ramai peserta terpaksa menunggu lama.

“Justeru, Kerajaan Negeri diharap dapat menambah baik perkara ini supaya keadaan tidak menjadi terlalu sesak dan proses saringan dapat dipercepatkan,” kata Halimey Abu Bakar.

Beliau berkata demikian selepas meninjau program Saringan Komuniti percuma di Dewan Komuniti MBPJ di Kampung Lindungan di sini semalam.

Saringan secara terus bermula jam 9 pagi hingga 4 petang dikendalikan 20 petugas kesihatan Klinik Selcare yang bertanggungjawab mengambil dan menguji sampel ujian RTK-Ag.

Sementara itu, Halimey berkata sebahagian penduduk hadir dan beratur seawal jam 8 pagi di luar pintu serta lokasi dikawal ketat anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya, polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

“Pada peringkat awal, keadaan sedikit sesak namun ia semakin terkawal selepas orang ramai dibenarkan memasuki kawasan saringan lebih awal,” katanya.