Categories
ADN AGENDA SELANGOR

20 rumah dilanda ribut, bantuan segera disalur baiki kerosakan

SHAH ALAM, 18 JUN: Sebanyak 20 rumah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru mengalami kerosakan akibat ribut petang semalam.

Wakil rakyatnya berkata hujan lebat dan angin kencang menyebabkan bumbung tercabut selain kejadian pokok tumbang malah tiga rumah mengalami kerosakan hampir 80 peratus.

Katanya, kawasan terlibat di Jalan Jambu, Taman Meru 3, Taman Desa Permai, Jalan Hamzah Alang, Kampung Budiman, Jalan Nanas dan Jalan Limau.

“Setakat ini tiada mangsa dipindahkan, mereka di kediaman masing-masing berteduh di ruangan yang tidak terjejas kerana khuatir dengan keadaan semasa Covid-19,” kata Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar kepada SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya akan membantu penduduk terjejas dengan segera termasuk bantuan kewangan serta kerja pembaikan rumah.

“Cuma ada sedikit kekangan berikutan banyak kedai tutup kerana sekatan pergerakan, jadi tukang rumah sukar cari barang untuk membaiki rumah, namun kita akan usaha seberapa segera.

“Ketua kampung juga diminta bantu uruskan permohonan bantuan tabung bencana daripada pejabat tanah. Buat permulaan, mangsa terlibat menerima bantuan wang tunai bagi ringankan beban,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata sebanyak 18 laporan diterima berhubung kejadian ribut semalam.

“Namun, kejadian yang berlaku di sekitar Meru ini tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa,” katanya.