Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN gesa perbaiki khidmat ambulans bawa pesakit Covid-19 ke hospital

SHAH ALAM, 20 JUN: Kerajaan digesa menambah baik perkhidmatan ambulans bagi menampung tambahan pesakit Covid-19 untuk dibawa ke hospital bagi menerima rawatan.

Wakil rakyat Seri Kembangan berkata masalah yang dihadapi sejak dua bulan lalu di kawasan terbabit belum ditangani meskipun banyak panggilan dibuat kepada hospital.

“Ia sememangnya memberi tekanan kepada kita kerana pesakit atau ahli keluarga mereka tidak dapat menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Setiap kali mereka cuba hubungi hospital, operator akan maklumkan ambulans sedang sibuk dan minta pesakit pergi sendiri ke hospital,” kata Ean Yong Hian Wah ketika dihubungi.

Beliau menambah kerajaan perlu menggunakan pengalaman mengurus pandemik sejak tahun lalu untuk memperbaiki kelemahan dalam sistem perkhidmatan kesihatan.

“Adalah tidak wajar mereka masih tidak dapat menguruskan hal seperti ini dan sepatutnya menangani kelemahan yang ada dengan segera supaya tidak membebankan rakyat,” kata Ean Yong.