Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Benarkan sidang Parlimen bincang pandemik, ketepi isu politik

SHAH ALAM, 9 JUN: Dato’ Menteri Besar menyeru semua pimpinan pembangkang dan kerajaan mengetepikan isu politik sebaliknya fokus kepada penyelesaian pandemik Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau percaya masalah kes wabak dapat diselesaikan jika Parlimen dibenar bersidang dan dijalankan dalam suasana harmoni meskipun pada saat kritikal.

“Saya percaya jika Parlimen bersidang sebagai contoh dalam suasana harmoni, perbincangan diikuti dengan jernih dan positif daripada konteks penyelesaian masalah.

“Ketika saat kritikal ini saya seru diri saya selaku aktor politik untuk kita bersama selesaikan masalah atau menangani isu pandemik ini dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program bertajuk Pakej Kita Selangor 2.0: Strategi Tangani Covid-19, Perkukuh Ekonomi di Astro Awani malam ini.

Amirudin turut menggesa semua pihak berlapang dada dan menerima pandangan demi memastikan kebajikan rakyat terjaga di saat kes Covid-19 semakin meningkat.