Categories
AGENDA NASIONAL

Kaji sambung PKP fasa satu, tukar strategi cegah Covid-19

SHAH ALAM, 28 JUN: Kerajaan Pusat wajar menukar strategi mencegah perebakan Covid-19 dengan memfokuskan usaha pemberian vaksin secara besar-besaran pada setiap hari.

Beberapa wakil rakyat di Selangor juga seia mahu keputusan menyambung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu dikaji semula kerana terbukti gagal menurunkan kes purata harian Covid-19 sejak sebulan lepas.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan berkata negara sepatutnya telah berupaya memberi vaksin kepada rakyat mencecah 300,000 sehari.

“Kekuatan aset sepatutnya dikerah untuk memastikan seramai mungkin rakyat diberi vaksin setiap hari bukannya mengerah aset untuk menguatkuasakan PKP.

“Jika berlaku kekangan tenaga kerja, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memanggil bekas doktor untuk membantu program pemberian vaksin,” katanya kepada SelangorKini.

ADN Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berkata kadar pemberian vaksin rendah serta keputusan melanjutkan PKP memberi kesan besar kepada emosi rakyat.

“Kadar vaksin setiap negeri terutama di Selangor masih rendah, kita berharap keputusan Selangor melancarkan Program Vaksinasi Covid-19 Selangor (SCVP) dapat mempercepat sasaran imuniti kelompok,” katanya.

Sementara itu, ADN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pernah menegur supaya pihak berkaitan mempercepat pemberian vaksin untuk penduduk negeri ini.

“Selangor mencatat kes positif tinggi hampir setiap hari tetapi kadar suntikan sangat rendah, kita agak kecewa dengan perkara ini, mujur Kerajaan Negeri bertungkus lumus untuk memastikan semua rakyat segera divaksin,” katanya.

Pada 27 Jun Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PKP fasa satu dilanjut selagi belum mencapai purata harian bawah 4,000 kes.

Bagi peralihan ke fasa kedua, purata kes harian Covid-19 perlu berada di bawah 4,000 kes; sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana dan 10 peratus populasi telah menerima dua dos suntikan vaksin.