Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

ADN gesa PM tidak politikkan isu banjir, tiada amaran awal bah besar di Selangor

SHAH ALAM, 20 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya menggesa perdana menteri tidak mempolitikkan isu banjir besar yang melanda Selangor hujung tahun lalu.

Dalam kenyataan di Twitter hari ini, Michelle Ng Mei Sze berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga didapati tidak mengeluarkan amaran awal bah di negeri ini.

“Pada jam 3.45 petang, Selangor diramal hujan dalam kategori kuning (waspada) – daerah-daerah yang teruk terjejas Petaling, Klang, Hulu Langat tidak disebut.

“Ramalan jam 11.50 malam – tiada hujan,” katanya, merujuk ramalan hujan MetMalaysia di media sosial pada 17 Disember.

“Pada 18 Disember, ramai yang terkandas. Tetapi ramalan pada 12 tengah hari, perhatikan Selangor masih disenarai dalam kategori kuning – waspada, bukan buruk.”

Walau tiada amaran hujan luar jangka daripada MetMalaysia, kata Michelle lagi, pentadbiran Selangor mula menggerakkan usaha membantu dan menyelamat mangsa banjir.

“Wakil-wakil rakyat sudah bergerak di kawasan-kawasan banjir,” katanya. “Hanya pada jam 2 petang (18 Disember), Selangor tiba-tiba diramalkan dalam keadaan bahaya (kategori merah).”

Penduduk Kampung Bukit Lanchong, Subang Jaya membersihkan kediaman selepas dilanda banjir ketika tinjauan pada 24 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyebut ada kelemahan di peringkat negeri dan daerah Selangor sehingga memaksanya campur tangan.

“Sikap Ismail Sabri mempolitikkan bencana ini berunsur tidak bertanggungjawab. Apakah ini tujuan mesyuarat khas Parlimen? Tolonglah, jadilah seorang negarawan,” kata ADN itu lagi.

“Jelaslah Kementerian Alam Sekitar dan Air khususnya MetMalaysia perlu diperkasakan agar dapat memberi ramalan yang lebih tepat, jadi semua agensi berkaitan dapat bersiap sedia. Apa rancangan perdana menteri?”

Dalam ucapan yang sama, perdana menteri mengakui kejadian banjir di Selangor melebihi kemampuan jentera tindak balas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“Kejadian banjir yang berlaku ini melebihi kemampuan jentera tindak balas JPBN Selangor. Selangor juga jarang berdepan dengan banjir besar luar biasa seperti kali,” kata Ismail Sabri.

Berucap di mesyuarat khas Dewan Rakyat hari ini, beliau juga menjelaskan hujan mencurah-curah pada 18 Disember lalu melebihi purata taburan hujan sebulan, selain fenomena air laut pasang besar.

“Banjir di Selangor yang bermula pada 18 Disember berlaku akibat daripada jumlah purata taburan hujan luar biasa iaitu 380 milimeter pada hari tersebut yang menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan,” katanya.

“Pada masa yang sama kejadian air pasang telah menyebabkan banjir ini bertambah lebih buruk.”

Categories
ADN SELANGOR

DUN Subang Jaya peruntuk hampir RM20,000 pasang ‘awning’ surau, beri keselesaan kariah

SUBANG JAYA, 13 JAN : Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya memperuntuk RM19,986 bagi memasang awning (sengkuap) di Surau Al-Mutaqqun USJ 12 di sini.

Wakil rakyat Michelle Ng Mei Sze berkata projek kecil yang bermula sejak 24 Mei hingga 7 Jun tahun lalu adalah permohonan daripada pihak jawatankuasa surau terbabit.

“Pemasangan awning sudah lama siap tetapi kehadiran kami tertangguh susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mereka memohon awning kerana lantai surau dipenuhi air jika hujan.

“Kita pasang awning sepanjang 17 meter dan lebar dua meter.  Apabila cuaca panas kariah juga boleh berteduh. Kita harap inisiatif kecil ini beri keselesaan kariah,” katanya pada sidang media Projek Kecil DUN Subang Jaya di sini hari ini.

Michelle turut menjelaskan mana-mana komuniti yang mahukan projek kecil dilaksanakan di kawasan mereka boleh memohon menerusi pusat khidmat masyarakat DUN Subang Jaya.

Selain itu, Pengerusi Surau Al-Muttaqun USJ12 Dr Khazali Mohd Zin turut berterima kasih kepada ahli dewan negeri Subang Jaya kerana sudi membantu menaik taraf surau ini.

“Alhamdulillah, pada mulanya tidak sangka permohonan kami diterima dan mendapat sokongan daripada pihak ADN. Prosesnya amat mudah dan akhirnya terlaksana juga, terima kasih,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Kabin mudah alih mudahkan warga USJ 11 mesyuarat, rancang aktiviti

SUBANG JAYA, 13 JAN: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya memperuntuk sejumlah RM19,998 bagi membekalkan kabin mudah alih di Taman Permainan USJ 11/4 di sini.

Projek yang dijalankan selama dua minggu sejak 28 September tahun lalu untuk memenuhi keperluan penduduk sekitar yang aktif menganjurkan program, kata wakil rakyatnya.

“Sebelum Covid-19, komuniti di sini sangat aktif menganjurkan pelbagai program termasuk bermesyuarat di rumah ahli persatuan secara bergilir.

“Justeru, saya berharap apabila adanya tempat khas ini mereka boleh bermesyuarat di sini sahaja dan tidak perlu lagi bersesak di rumah,” kata Michelle Ng Mei Sze di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk USJ 11/4 S Theesan berterima kasih atas usaha wakil rakyat menyediakan kemudahan buat penduduk yang akan dimanfaatkan sebaiknya.

“Saya juga berharap komuniti setempat dapat menggunakan sebaik mungkin fasiliti di kawasan ini dan tidak membuat kerosakan,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Peruntuk RM40,000 naik taraf taman permainan, gelanggang futsal

SUBANG JAYA, 23 OKT : Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya memperuntuk hampir RM40,000 bagi menaik taraf taman permainan dan gelanggang futsal di USJ6 di sini.

Wakil rakyatnya Michelle Ng Mei Sze berkata sebanyak RM19,978 dibelanja untuk membaiki kerosakan taman permainan serta RM19,982 bagi gelanggang futsal.

“Kami terima laporan keadaan peralatan di gelanggang dan taman permainan di sini agak teruk dan perlu dibaik pulih demi keselesaan penduduk untuk beriadah.

“Kerja naik taraf siap pada awal Oktober dan saya harap penduduk menjaga kemudahan disediakan selain mematuhi SOP (tatacara operasi piawai) mencegah Covid-19,” katanya pada sidang media Projek Kecil DUN Subang Jaya di USJ6 di sini semalam.

Menurut Michelle kemudahan taman dan gelanggang futsal yang berwajah baharu turut memberi manfaat kepada kanak-kanak dan remaja yang terkurung selama dua tahun susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya difahamkan setiap petang atau hujung minggu tapak ini dihadiri lebih 40 kanak-kanak dan remaja. Oleh itu, saya rasa dengan sumbangan baik pulih ini dapat memberi keselesaan untuk mereka beriadah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Juan Lee turut berterima kasih kepada ADN Subang Jaya kerana menaik taraf fasiliti kawasan tersebut dan berharap masyarakat setempat tidak melakukan kerosakan.

“Bagi memperindahkan lagi kawasan ini, kita cadangkan pihak Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) meletakkan papan tanda seperti meminta pengunjung menjaga SOP,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Dua tangki statik bantu tampung bekalan air warga Subang Jaya

SUBANG JAYA, 9 OKT: Wakil rakyat Subang Jaya menyediakan dua tangki air khusus buat penduduk di beberapa kawasannya susulan kerja naik taraf aset bekalan Rabu ini.

Tangki statik yang boleh menyimpan lebih 3,600 liter air setiap satu terletak berhampiran Taman Rekreasi Hutan Bandar USJ 3C untuk kegunaan penduduk USJ 3A hingga 3D, kata Michelle Ng Mei Sze.

“Selenggara kali ini tidak melibatkan banyak penempatan. Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) akan isi bekalan antara malam 13 Oktober atau pagi 14 Oktober. Harap ia mencukupi,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas merasmikan program Pengasingan Sisa Dari Rumah DUN Subang Jaya hari ini menambah pihaknya turut menggerakkan sukarelawan bagi memantau kebajikan penduduk terjejas.

Michelle juga meminta orang ramai tidak bimbang berikutan penambahbaikan loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 berjalan lancar dan diluluskan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

“Semua diaudit dan teratur,” katanya lagi.

Orang ramai di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor diminta menyimpan bekalan air secukupnya mulai 13 Oktober.

Dijangka pulih berperingkat mulai 5 petang 14 Oktober, pengguna di 998 kawasan boleh menyemak kawasan masing-masing dan bila bekalan kembali pulih di laman web hentitugas.airselangor.com.

Dalam tempoh 13 hingga 16 Oktober, Air Selangor menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Empat stesen pengisian air setempat juga dibuka kepada pelanggan komersial untuk membeli bekalan menggunakan lori tangki.

Selain laman web dinyatakan, maklumat terkini bekalan air boleh disemak di semua wadah komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter dan Instagram.

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat agih 100 pengukur oksigen kepada penduduk Subang Jaya

SHAH ALAM, 23 SEPT: Ahli Dewan Negeri Subang Jaya mengagihkan 100 oximeter atau pengukur kandungan oksigen dalam tubuh kepada komuniti sekitar DUN itu semalam.

Michelle Ng Mei Sze berkata alatan berkenaan diserahkan kepada beberapa rukun tetangga, pertubuhan penduduk dan badan pengurusan bersama pangsapuri (JMB).

“Oximeter ini diterima daripada seorang penyumbang. Ia akan dipinjamkan kepada individu memerlukannya terutama sedang menjalani kuarantin di rumah.

“Apabila tempoh itu tamat peminjam perlu memulangkan semula kepada wakil penduduk dan akan disanitasi sebelum dipinjamkan kepada pesakit lain,” katanya menerusi kenyataan.

Michelle Ng berkata pihaknya mengajar cara penggunaan alat itu kepada wakil penduduk termasuk tahap bacaan oksigen diperlukan badan.

“Saya berharap oximeter ini dapat membantu pesakit yang tidak dirawat di hospital. Alat ini juga mampu menjamin kesihatan serta melindungi nyawa masyarakat,” katanya.

Pada Julai Kerajaan Selangor menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 mengagihkan 7,000 kit penilaian di rumah yang turut mengandungi oximeter bagi membantu pesakit Covid-19 memantau tahap kesihatan ketika tempoh kuarantin.

Categories
ADN SELANGOR

Kurang seminggu selesai aduan, ADN Subang Jaya puji KDEBWM

SUBANG JAYA, 16 SEPT: Tindakan pantas syarikat pengurusan sisa pepejal negeri menggantikan tong sampah penduduk yang rosak dipuji Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya.

Michelle Ng Mei Sze berkata KDEB Waste Management (KDEBWM) mengambil masa kurang seminggu untuk menyelesaikan masalah penduduk Pangsapuri PJS 7/15, Bandar Sunway.

“Saya membuat permohonan kepada KDEBWM minggu lalu dan hari ini (semalam) terima yang baharu. Tindakan sangat cepat dan betul-betul prihatin masalah penduduk.

“Inisiatif ini juga memudahkan proses kutipan sampah. Jika tidak kakitangan KDEBWM perlu mengutip secara manual dan mengambil masa,” katanya selepas menerima tong sampah larut (leach bin) daripada Pengarah Urusan KDEBWM Ramli Mohd Tahir.

Michelle turut meminta penduduk menjaga dan menggunakan kemudahan tersebut dengan betul bagi memastikan kebersihan sekitar pangsapuri terpelihara.

Semalam, KDEBWM menyumbang enam tong sampah jenis larut bernilai lebih RM10,00 kepada pangsapuri berkenaan sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporatnya.

Categories
ADN SELANGOR

Gegantung lima bahasa permudah warga asing patuhi SOP, daftar vaksin Selangor

SHAH ALAM, 20 OGOS: Gegantung tatacara operasi piawai (SOP) dalam lima bahasa asing pada program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya memudahkan warga asing mematuhi arahan untuk mengelak jangkitan Covid-19.

Lima bahasa itu adalah Urdu, Bengali, Hindu, Burma, Nepal dan Vietnam.

Ahli Dewan Negeri (ADN)nya berkata inisiatif diambil kerana terdapat golongan berkaitan tidak memahami bahasa Melayu dan Inggeris menyebabkan kesukaran termasuk proses pendaftaran.

“Ada situasi kami terpaksa menyanyi lagu ‘Happy Birthday’ untuk mendapatkan tarikh lahir mereka untuk mendaftar menggunakan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Mereka mudah faham apabila arahan ditulis dalam bahasa ibunda masing-masing, ini penambahbaikan dilakukan selepas melihat kekurangan ketika suntikan dos pertama bulan lalu,” kata Michelle Ng Mei Sze ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hotel De Palma di sini semalam.

Beliau berkata seramai 2,700 orang mendaftar mendapat suntikan vaksin Covid-19 bagi Selvax Komuniti DUN Subang Jaya, melebihi daripada kuota ditetapkan.

“Ramai juga warga asing mendapatkan suntikan, ia sesuatu yang baik kerana kebanyakannya bekerja dengan penduduk tempatan.

“Apabila sudah divaksin sudah tentu mereka boleh bekerja dengan selamat, perniagaan penduduk boleh diteruskan tanpa halangan,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Lebih 3,000 penduduk Subang Jaya terima bakul makanan, baucar RM100

SHAH ALAM, 19 OGOS: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya memperuntukkan lebih RM300,000 untuk menyediakan bantuan makanan kepada 3,554 golongan terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Michelle Ng Mei Sze berkata setiap penerima mendapat bakul makanan dan baucar bernilai RM100 yang boleh ditebus di pasaraya terpilih.

Jelasnya baucar makanan turut diberikan kerana ada penerima memerlukan diet tertentu mengikut tahap kesihatan mereka.

“Mereka boleh memilih barangan makanan sesuai dengan diet mereka, jadi tidak ada pembaziran berbanding kalau kami beri bantuan yang sudah ditetapkan.

“Selain itu kami juga berterima kasih kerana ada penderma yang tampil membantu membolehkan lebih ramai penduduk dibantu ketika PKP,” katanya ditemui di pusat pemberian vaksin (PPV) Hotel De Palma di sini, hari ini.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan setiap DUN menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Turut menerima peruntukan tambahan dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat ahli parlimen Pakatan Harapan berjumlah RM30,000.

Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.

Categories
ADN SELANGOR

Lebih 2,800 penduduk Subang Jaya dapat vaksin negeri

SHAH ALAM, 30 JULAI: Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

Ahli Dewan Negerinya Michelle Ng Mei Sze berkata lebih 2,800 peserta hadir untuk mendapatkan suntikan pelalian Covid-19 bagi tempoh dua hari bermula kelmarin.

“Kita menyasarkan 2,600 peserta tetapi yang hadir lebih daripada jumlah ditetapkan. Lebih 50 peratus daripada penerima merupakan warga tempatan yang belum mendapat janji temu di MySejahtera.

“Mereka yang belum mendapat janji temu boleh hadir kerana objektif adalah untuk memastikan penduduk Subang Jaya dapat divaksin bagi memastikan kes di Selangor menurun,” katanya ketika dihubungi.

Seramai 1.04 juta atau 22 peratus rakyat Selangor lengkap menerima dua dos suntikan vaksin setakat semalam dengan 151,884 dos disuntik bawah program Selvax.

Kerajaan Negeri menyediakan dua juta dos vaksin kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kaji sambung PKP fasa satu, tukar strategi cegah Covid-19

SHAH ALAM, 28 JUN: Kerajaan Pusat wajar menukar strategi mencegah perebakan Covid-19 dengan memfokuskan usaha pemberian vaksin secara besar-besaran pada setiap hari.

Beberapa wakil rakyat di Selangor juga seia mahu keputusan menyambung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu dikaji semula kerana terbukti gagal menurunkan kes purata harian Covid-19 sejak sebulan lepas.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan berkata negara sepatutnya telah berupaya memberi vaksin kepada rakyat mencecah 300,000 sehari.

“Kekuatan aset sepatutnya dikerah untuk memastikan seramai mungkin rakyat diberi vaksin setiap hari bukannya mengerah aset untuk menguatkuasakan PKP.

“Jika berlaku kekangan tenaga kerja, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memanggil bekas doktor untuk membantu program pemberian vaksin,” katanya kepada SelangorKini.

ADN Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berkata kadar pemberian vaksin rendah serta keputusan melanjutkan PKP memberi kesan besar kepada emosi rakyat.

“Kadar vaksin setiap negeri terutama di Selangor masih rendah, kita berharap keputusan Selangor melancarkan Program Vaksinasi Covid-19 Selangor (SCVP) dapat mempercepat sasaran imuniti kelompok,” katanya.

Sementara itu, ADN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pernah menegur supaya pihak berkaitan mempercepat pemberian vaksin untuk penduduk negeri ini.

“Selangor mencatat kes positif tinggi hampir setiap hari tetapi kadar suntikan sangat rendah, kita agak kecewa dengan perkara ini, mujur Kerajaan Negeri bertungkus lumus untuk memastikan semua rakyat segera divaksin,” katanya.

Pada 27 Jun Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PKP fasa satu dilanjut selagi belum mencapai purata harian bawah 4,000 kes.

Bagi peralihan ke fasa kedua, purata kes harian Covid-19 perlu berada di bawah 4,000 kes; sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana dan 10 peratus populasi telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat sediakan pemandu bawa warga emas, OKU ke pusat vaksin

SHAH ALAM, 1 JUN: Wakil rakyat Subang Jaya menyediakan pengangkutan percuma untuk warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) ke pusat pemberian vaksin (PPV) sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Michelle Ng Mei Sze berkata inisiatif bermula minggu lalu menyasar golongan kurang berkemampuan bagi memastikan mereka tidak terlepas janji temu mendapatkan suntikan vaksin.

“Mereka perlu membuat tempahan mendapatkan perkhidmatan ini dua hari sebelum tarikh janji temu suntikan vaksin selepas menerima notifikasi melalui aplikasi MySejahtera.

“Pemandu akan mengambil individu berkaitan di rumah masing-masing untuk dihantar ke PPV sekitar Selangor dan Kuala Lumpur selain menguruskan proses suntikan hingga selesai,” katanya ketika dihubungi.

Michelle berkata seramai 15 pemandu dalam lingkungan usia 20 hingga 55 tahun berdaftar secara sukarela dengan semuanya diberi surat kebenaran rentas daerah.

“Justeru, sangat penting untuk setiap orang memainkan peranan membantu individu seperti ini bagi memastikan negara mencapai imuniti kelompok,” katanya menambah kira-kira 50 warga emas dan OKU sudah dibantu.

Mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan itu boleh menghubungi Pengerusi Rukun Tetangga USJ 2, Har di talian 012-2731336.