Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 70,000 guru terima suntikan vaksin Covid-19

PUTRAJAYA, 6 JUN: Lebih 70,000 guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 setakat ini, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) akan berusaha untuk menggandakan angka berkenaan dengan mengambil kira sesi persekolahan secara bersemuka tidak akan berlangsung hingga akhir Julai, bagi membolehkan lebih ramai guru divaksinasi dalam tempoh itu.

Radzi dalam sidang media secara maya hari ini berkata perbincangan dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin telah diadakan berhubung perkara berkenaan.

Khairy sebelum ini dilaporkan berkata seramai 500,000 guru telah disenaraikan sebagai penerima vaksin dalam Fasa 2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula 19 April lepas.

Radzi dalam pada itu berkata KPM akan memperinci kaedah dan pendekatan yang boleh diaplikasikan bagi mengelakkan sekolah menjadi sebahagian daripada kluster Covid-19.

“Pendekatan akan diperincikan dari semasa ke semasa dan apa yang penting kita memastikan tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi kerana jangkitan Covid-19 melibatkan pelajar sekolah masih berlaku di luar sana walaupun sekolah tutup,” katanya.

Mengenai Inisiatif CERDIK yang diumum dalam Belanjawan 2021 dan diselia Yayasan Hasanah untuk membekalkan 150,000 komputer riba, tablet dan data kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), Radzi berkata sebanyak 12,887 unit telah diagih kepada 95 sekolah melibatkan 51 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“40,290 unit dalam proses agihan yang dijangka selesai selewat-lewatnya 12 Jun ini manakala agihan baki 96,823 unit dijangka selesai pada akhir September tahun ini,” katanya.

– BERNAMA