Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Program vaksin penghuni rumah orang tua, OKU bermula 8 Jun

SHAH ALAM, 5 JUN: Program pemberian vaksin Covid-19 di rumah jagaan warga emas dan golongan orang kelainan upaya (OKU) negeri ini akan bermula Selasa ini.

Dato’ Menteri Besar berkata Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) akan menggerakkan 16 pasukan bagi memastikan golongan terbabit mendapat suntikan imunisasi.

Berdasar jadual dikongsi Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook, program berperingkat itu melibatkan 1,893 individu termasuk kakitangan dari 68 pusat jagaan.

“Konsep ‘outreach’ atau vaksinasi bergerak ini juga dilaksanakan bagi mengurangkan risiko kepada dua golongan berkenaan.

“Semoga ikhtiar ini akan membantu meningkatkan kadar vaksinasi di Selangor dan mencapai matlamat imuniti kelompok,” katanya.

Amirudin menjelaskan program itu ditawarkan kepada pusat jagaan kerajaan atau Jabatan Kebajikan Masyarakat, pusat jagaan berlesen di bawah Akta 506 dan Akta 586 serta pusat swasta tidak berlesen.